Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: RM900 sebulan, apa nasib pekebun kecil?
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya tidak merasai denyut nadi rakyat, khususnya, seperti golongan pekebun kecil.

Melalui satu hantaran di Facebook, katanya rakyat semakin hari semakin tertekan, dengan harga komoditi jatuh mendadak, selepas pilihan raya umum lalu pada Mei lalu.

“Misalnya harga sawit, hari ini pekebun kecil ada yang hanya mendapat serendah RM300-RM400 setiap tan.

“Dahulu, kerajaan BN sentiasa berusaha membantu para pekebun kecil. Misalnya dalam kunjungan ke luar negara, saya telah meyakinkan negara besar dan rakan pelaburan kita seperti China dan India untuk terus membeli minyak sawit daripada Malaysia,” katanya.

Malah, menurut Najib, di dalam Bajet tahunan, BN juga mengumumkan bantuan khusus buat golongan pekebun kecil dan peneroka supaya dapat meringankan beban mereka yang terkesan.

Namun, katanya segala-galanya berubuh selepas kekalahan BN pada PRU14 lalu.

“Saya bimbang dengan trend kerajaan hari ini yang bersifat antagonistik terhadap rakan-rakan pelaburan kita yang secara tidak langsung mengganggu-gugat kebajikan pekebun kecil.

“Saya bimbang dengan 'Menteri Kewangan Terbaik Dunia' yang telah mula mencari alasan dan mengeluarkan hint meminta rakyat berkorban kononnya kerajaan tak ada wang, bahawa banyak bantuan akan dipotong.

“Apa nasib pekebun kecil nanti?” katanya yang jelas merujuk kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Kerusi empuk di Putrajaya

Najib berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa peneroka Felda kini berhadapan kegelisahan dan keresahan selepas harga komoditi sawit mencatatkan penurunan hari demi hari.

Ini sekali gus menjejaskan pendapatan mereka sehingga hanya sekitar RM900 sebulan, katanya.

“RM900 sebulan, wahai menteri-menteri Pakatan Harapan.

“Selesa dengan kerusi empuk di Putrajaya dan gembira terbang bersama pegawai ke hulu ke hilir atas perbelanjaan rakyat?

“Kita mahu kerajaan dengar, faham dan merasai denyut nadi rakyat, seperti golongan pekebun kecil. Namun, apa nasib mereka kini?” soalnya.

Pada Julai lalu, Najib pernah menimbulkan kebimbangan dengan nasib peneroka Felda yang didakwa tidak menerima banyak manfaat di bawah pentadbiran kerajaan HARAPAN.

Felda juga mengeluarkan notis kelewatan bayaran pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil yang sepatutnya dibayar pada 23 Julai hingga 25 Julai lalu atas perkara yang tidak dapat dielakkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS