Hanya beberapa jam selepas sah Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) beliau 'terhukum' di kawasan parlimennya sendiri.
Jika sebelum ini gambar bekas menteri kanan dan anggota majlis tertinggi Umno itu boleh dilihat di Jeli, kini gambarnya sudah dipadamkan.
Dipercayai kerana kecewa atau marah gambar muka Mustapa yang terpapar pada satu papan iklan didapati ditampal dengan kertas oleh pihak yang tidak dikenali.
Bagaimanapun gambar Datuk Seri Najib yang turut dipaparkan pada papan iklan itu tidak diapa-apakan.
Dipercayai papan iklan itu dinaikkan sebelum pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu.
PRU ke-14 itu menyaksikan Najib gagal mengemudi BN untuk terus mendapat kepercayaan daripada majoriti rakyat negara ini menjadi kerajaan.
Menurut laporan Sinar Online gambar Mustapa dikatakan ditampal kertas pada malam beliau mengumumkan penyertaannya ke dalam BERSATU.
Mustapa yang sebelum ini mempunyai imej yang baik - termasuk di kalangan Pakatan Harapan - mengumumkan penyertaannya bersama BERSATU pada 26 Okt lalu.
Langkah itu diambil secara rasmi selepas beliau meninggalkan Umno dan menjadi anggota parlimen bebas kira-kira sebulan sebelum itu.
Mustapa mencurahkan khidmat baktinya kepada Umno selama 40 tahun.
Penyertaan Mustapa menjadi sebahagian daripada parti kerajaan turut mencetuskan khabar angin bahawa beliau bukanlah anggota parlimen Umno yang terakhir akan mengubah haluan politik.
Pada masa sama pemimpin Umno bertegas tidak ada wakil rakyat mereka akan menyertai HARAPAN dan berharap semua anggota parti kekal setia.