PAS kembali memperkatakan isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan menggesa kerajaan mengambil langkah tertentu untuk menjadikannya kenyataan.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong mempertimbangkan supaya rang undang-undang (RUU) dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dibawa ke parlimen pada sidang kali ini.
Katanya berdasarkan kenyataan Liew, ada 117 akta yang akan dibawa ke parlimen untuk dimansuhkan atau dipinda.
Namun kata bekas anggota parlimen Temerloh itu tidak dapat dipastikan sama ada RUU Abdul Hadi untuk meminta akta tersebut termasuk dalam senarai tersebut.
"PAS menggesa pihak menteri membuat pertimbangan sewajarnya supaya Akta 355 - nama lain bagi akta berkenaan - disenaraikan juga sebagai tanda komitmen kerajaan persekutuan mengangkat institusi mahkamah syariah dan memperbaharui undang-undang berkaitan jenayah syariah di negara ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.
PAS juga kata Nasrudin mahu supaya RUU baru yang akan digubal mestilah dipaparkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.
RUU Akta 355 dibentangkan melalui usul persendirian oleh Abdul Hadi sebelum pilihan raya umum (PRU) lalu diadakan.
Ada pindaan bakal kontroversi
Ia sempat membuat keadaan politik panas dan PAS dikecam banyak pihak kerana didakwa sesetengah pihak mahu memperkenalkan undang-undang hudud di negara ini.
Bagaimanapun PAS menafikannya dan menegaskan langkah tersebut dibuat bagi memperkasakan mahkamah syariah.
Melalui cadangan pindaan itu mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman penjara, sebat dan denda yang lebih berat berbanding apa yang ada sekarang.
Peruntukan semasa bagi pesalah syariah ialah penjara sehingga tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali.
Abdul Hadi melalui RUU berkenaan mencadangkan seseorang pesalah boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan sebatan boleh dibuat sehingga 100 kali.
Ketika pembangkang berpecah disebabkan isu berkenaan PAS pula mendapat jalan terbentang untuk bekerjasama dengan Umno.
Pada masa sama Umno tidak disenangi parti komponennya dalam BN.
Kata Nasrudin ada beberapa langkah pemansuhan akta akan beraku di parlimen kali ini dan antaranya mungkin menimbulkan kontroversi.
"Antaranya RUU Harmoni Nasional, peruntukan hukuman mati mandatori, RUU Pembiayaan Politik, RUU Kebebasan Maklumat dan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976," katanya.