Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan agar BN dijenamakan semula dengan nama baru sebagai langkah untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.
"Saya cadangkan kita tukar nama BN. Gagasan pembangkang yang ada sekarang perlu diperkuatkan dengan kemasukan parti-parti yang baru supaya kita menawan balik kerajaan pada PRU ke-15.
"Bagi saya, Perikatan 1.0 ditubuhkan pada tahun 1955. Perikatan 2.0 atau BN diwujudakan pada tahun 1974 dengan Umno, MCA dan MIC dijadikan sebagai parti teras.
"Dan, kini 2018, saya cadangan Perikatan 3.0 gabungan parti yang "sama seperti BN," katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung MIC ke-72, di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.
Ahmad Zahid juga sempat menyatakan harapan agar PAS dapat mengukuhkan lagi gabungan baru itu, yang kemudian mendapat sambutan baik daripada perwakilan yang hadir.
Turut hadir Anggota Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, Presiden MyPPP Maglin De Cruz, Presiden MIUP Datuk K Nallakaruppan, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad, bekas exco Selangor Dr Halimah Ali, serta wakil parti politik dan NGO.
Menurut Ahmad Zahid, hala tuju utama BN adalah menerajui semula kerajaan persekutuan pad PRU akan datang.
"Semasa ucapan, Presiden MIC, Tan Sri Vicky (SA Vigneswaran) tanya saya apakah hala tuju BN selepas ini? Saya nak tegaskan bahawa hala tuju kita adalah memenangi semula kerajaan pusat.
"Mampukah kita?" tanya beliau kepada pada perwakilan dibalas dengan laungan 'boleh' sebanyak tiga kali.
Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada MIC yang masih setia bersama BN dan berharap anggota parti itu bekerja lebih keras menguatkan gagasan pembangkang.
"Saya nak tegaskan selepas ini hanya satu BN, satu MIC," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Untuk rekod, BN yang kini hanya mempunyai lima komponen sahaja selepas lapan bekas anggota parti bertindak keluar daripadanya selepas kalah pada PRU ke-14.
Selain Umno, MCA dan MIC, parti lain dalam BN adalah MyPPP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).