Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan Ko-Nelayan ambil alih operasi jeti jualan diesel dibantah
Diterbitkan:  Oct 27, 2018 5:59 AM
Dikemaskini: 10:25 PM

Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) tidak bersetuju dengan cadangan Korporasi Kemajuan Perikanan Dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) untuk mengambil alih operasi penjualan minyak diesel di sembilan jeti yang diuruskan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh Sabah.

Datuk Arsit Sedi, Pengerusi Pengasah yang menaungi semua 16 PNK di Sabah, berkata keputusan Ko-Nelayan untuk mengambil alih operasi jualan diesel di jeti-jeti berkenaan atas alasan ia tidak berfungsi dengan baik adalah tidak tepat, kerana menurutnya, jika ada pun permasalahan yang timbul di jeti itu, ia bukan berpunca daripada PNK.

"Pada masa ini terdapat 26 jeti jualan diesel dioperasikan oleh PNK di seluruh Sabah. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada semua pengerusi PNK, tidak timbul soal ketidakmampuan, termasuk dari segi kewangan untuk persatuan itu menguruskan jualan diesel di jeti-jeti itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arsit mendakwa jika ada pun jeti jualan diesel yang tidak beroperasi, ia bukan berpunca daripada PNK, sebaliknya Ko-Nelayan sendiri yang seolah-olah melengah-lengahkan penghantaran bekalan diesel ke jeti berkenaan untuk dijual oleh PNK kepada ahlinya atau nelayan setempat.

Sebagai contoh, katanya pemberhentian penjualan diesel di dua jeti yang diuruskan PNK di Sandakan selama antara satu bulan hingga dua bulan lalu berpunca daripada sebuah jeti berkenaan rosak teruk dilanggar tongkang manakala sebuah jeti lagi akibat kegagalan Ko-Nelayan menyelesaikan masalah bayaran upah mengangkut minyak ke jeti kepada syarikat pengangkut minyak.

Untuk rekod, Ko-Nelayan merupakan pemborong tunggal minyak diesel bersubsidi yang dilantik kerajaan Malaysia untuk membekalkan dan menyalurkan kepada nelayan serta bot nelayan yang memiliki kad e-diesel di negeri Sabah.

"Mana-mana jeti jualan minyak diesel yang diluluskan oleh sebuah pasukan petugas dan diuruskan PNK selama ini dikekalkan.Tidak boleh disentuh oleh Ko-Nelayan. Ertinya Ko-Nelayan bidang dia pemborong (diesel) sahaja manakala peruncitan pula ialah PNK. Ini yang kita minta.

Pasukan petugas itu dibentuk kerajaan Persekutuan yang dipengerusikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk menyelaraskan penjualan diesel subsidi kepada nelayan. Antara lain ia dianggotai oleh Jabatan Kastam, APMM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna dan Ko-Nelayan.

Menurut Arsit jika ada apa-apa permasalahan berkenaan operasi jeti, Ko-Nelayan, Pengasah dan PNK seharusnya berbincang untuk mencari penyelesaian 'menang-menang' bagi mengelak ekonomi lebih 21,000 ahli PNK di seluruh Sabah terjejas akibat pengambilalihan itu.

Dalam perkembangan lain, Pengasah merayu kepada kerajaan Persekutuan agar mengekalkan bekalan diesel bersubsidi di Sabah, terutama di kawasan pantai timur bagi meringankan beban hidup golongan nelayan di kawasan itu yang pendapatannya terjejas disebabkan perintah berkurung yang masih berkuat kuasa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS