LANGSUNG | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini kembali ke mahkamah dan akan didakwa bersama beka ketua perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Kedua-dua mereka dijangka didakwa berhubung bayaran 1MDB kepada firma pelaburan Abu Dhabi-based International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dikatakan mempunyai kaitan dengan dana persaraan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Sementara itu, bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid dibawa ke mahkamah hari ini bagi berdepan tuduhan pecah amanah.
Malaysiakini melaporkan secara langsung dari kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
LAPORAN LANGSUNG
2.54pm: Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini. Laporan disediakan oleh Hariz Mohd, Mohd Fakhrull Halim, Faisal Asyraf, Koh Jun Lim dan jurugambar oleh Lim Huey Teng.
If you like what we do, support independent media by joining our subscription programme for as low as RM0.41 a day. Details here.
Jika anda sokong media bebas, langgan Malaysiakini berbahasa Inggeri serendah RM0.41 sehari. Butiran di sini.
2.40pm: Najib akhirnya meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur setelah tiba pada pukul 8.22 pagi tadi.
Beliau kelihatan tenang dan sempat memberikan sedikit ucapan kepada pemberita di lobi mahkamah.
“Saya ingin tegaskan, dalam pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan kepada saya, tidak ada unsur keuntungan atau kepentingan untuk diri saya atau Irwan.
“Apa juga keputusan yang diambil adalah demi kepentingan negara,” katanya.
Sebelum menaiki kereta, beliau sempat bertemu dan bersalaman dengan beberapa penyokongnya yang setia menunggu sejak pagi.
Najib juga sempat mengaminkan doa yang dibaca penyokongnya.
12.02pm: Pihak pendakwa berhujah bahawa ikat jamin RM300,000 untuk Hasanah terlalu rendah jika mengambil kira kes melibatkan AS$12.1 juta dan jawatan yang pernah disandangnya.
Peguam Hasanah kemudian memohon kelonggaran dan budi bicara, agar mereka dapat berhubung dengan anak guam tanpa perlu ke penjara.
Hakim menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin dan Hasanah dikehendaki menyerahkan pasportnya.
Sebutan kes ditetapkan pada 29 Nov, 3 petang.
Mahkamah ditangguhkan.
11.50am: Sri Ram memohon agar ikat jamin Hasanah ditetapkan RM1 juta.
Peguam Hasanah sebaliknya mencadangkan ikat jamin RM300,000.
11.35am: Giliran Hasanah pula untuk dibicarakan.
Beliau mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas dakwaan pecah amanah ketika menjadi ketua pengarah MEIO melibatkan AS$12.1 juta dana kerajaan.
Hasanah didakwa melakukan jenayah itu antara 30 April dan 9 Mei.
11.30am: Pihak pendakwa membantah permohonan Shafee untuk memberi masa tiga minggu bagi membayar ikat jamin dan menyifatkan tempoh itu terlalu lama.
Selepas hujah lanjut daripada Shafee, Hakim menetapkan Najib dan Irwan perlu membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan selebihnya dalam tempoh 10 hari.
Shafee sekali lagi meminta salinan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa. Ia agar defendan boleh mencabar pelantikan itu.
11.25am: Selepas hujah lanjut dari Shafee, Geethan berkata gaji Irwan tidak relevan dengan kes itu.
Tambahnya, yang penting adalah anak guamnya tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi daripada pecah amanah yang didakwa.
Hakim kemudian menetapkan ikat jamin RM1 juta untuk setiap tertuduh, dengan dua penjamin.
Mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport dan dilarang masuk campur dengan saksi.
Shafee memohon agar Najib diberi sekurang-kurangnya tiga minggu untuk membayar ikat jamin, namun memberi jaminan bahawa anak guamnya akan membayar ikat jamin itu secepat mungkin.
Kumaraendram pula berkata anak guamnya, Irwan boleh membayar RM500,000 hari ini dan memerlukan 10 hari untuk membayar selebihnya.
11.20am: Sementara itu, di luar mahkamah, salah seorang penyokong Najib, Hisham Jalil memberitahu pemberita bahawa kekurangan penyokong yang hadir ke mahkamah pada hari ini disebabkan kelewatan mendapat notis tentang prosiding tersebut.
Bekas pegawai khas Najib itu mendakwa mereka hanya diberikan notis petang semalam.
“Ini disengajakan, saat akhir baru dapat notis, konon-konon hendak bagi nampak penyokong tak ramai.
"Tak sempat sebab hari ini hari bekerja. Kerajaan, hentikanlah taktik sebegini,” katanya.
11.10am: Sri Ram berhujah bahawa ikat jamin RM3 juta terhadap Najib tidak berlebihan jika mengambil kira keseriusan kesalahan.
As for the second accused, Gopal pointed out Irwan was paid millions for the various post he held.
Bagi Irwan pula, Gopal menjelaskan bahawa Irwan dibayar gaji berjuta ringgit bagi gaji yang dipegang sebelum ini.
Semalam, media melaporkan bahawa Irwan menerima hampir RM7 juta selama tujuh tahun sejak 2011 hingga Jun 2018 daripada perkhidmatannya selain jawatan dalam pelbagai syarikat berkaitan kerajaan.
11am: Peguam Irwan, Kumaraendran berkata anak guamnya merupakan penjawat awam yang berdedikasi selama 20 tahun dan tidak mampu membayar ikat jamin yang tinggi.
Tambahnya, ikat jamin yang tinggi hanya akan menyebabkan anak guamnya dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan.
Kumaraendran turut berhujah bahawa anak guamnya tidak berisiko melarikan diri, maka ikat jamin tidak perlu tinggi.
Ikat jamin itu juga perlu direndahkan kerana anak guamnya akan menyerahkan pasport, katanya.
Kumaraendran menambah bahawa Irwan telah memberi kerjasama yang baik dalam 10 perjumpaan dengan SPRM meskipun tidak menerima notis rasmi, kecuali ketika soal siasat semalam.
Peguam Irwan itu kemudian mencadangkan ikat jamin RM500,000.
"Itu sudah cukup untuk memastikan kehadirannya di mahkamah. Sebarang jumlah yang lebih daripada itu adalah bersifat menghukum," katanya.
10.35am: Sri Ram memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin untuk Najib dan Irwan sebanyak RM3 juta seorang.
Shafee membantah dengan menjelaskan bahawa Najib sebelum ini sudah membayar ikat jamin RM4.5 juta bagi dakwaan kes berkaitan SRC International dan 1MDB, selain menyerahkan pasport.
Shafee mengingatkan mahkamah bahawa tujuan ikat jamin adalah bagi memastikan kehadiran tertuduh dan bukan bertujuan menghukum atau menindas. Beliau juga menggesa mahkamah melakukan "penilaian global" bagi ikat jamin yang sudah dibayar.
Shafee turut berhujah bahawa pihak pendakwa dan SPRM mengakui bahawa Najib tidak berisiko untuk melarikan diri.
Antara lain, Shafee menjelaskan bahawa Najib sudah dibebaskan dengan ikat jamin polis semalam selepas ditunjukkan sepintas lalu dakwaan yang akan dihadapinya hari ini, dengan arahan untuk hadir mahkamah 8.30 pagi ini.
Shafee berhujah bahawa Najib malah tiba lebih awal dari yang dijanjikan.
Maka, Shafee menggesa mahkamah membebaskan anak guamnya tanpa ikat jamin, meski masih terikat dengan syarat ikat jamin pendakwaan sebelumnya.
Shafee menegaskan bahawa anak guamnya juga memaklumkan kepadanya bahawa pertuduhan pertama dan kedua tidak berasas kerana keputusan itu dibuat bersama Irwan bagi mengelakkan akibat buruk.
"Saya tak fikir boleh ada pertuduhan (kepentingan peribadi) itu dalam (enam) kes ini.
"Anak guam saya merasakan bahawa pertuduhan ini melampau dan tidak sabar untuk dibicarakan," katanya.
Shafee turut mengulangi gesaan agar anak guamnya dibebaskan dengan syarat ikat jamin sebelumnya.
10.10am: Pertuduhan keenam dan yang terakhir ke atas Najib dan Irwan adalah atas dakwaan pecah amanah melibatkan RM2 bilion dana kerajaan. Kedua-dua mereka didakwa terlibat melakukan jenayah itu pada 10 Disemberi 2017.
Secara keseluruhan, kedua-dua mereka didakwa melakukan pecah amanah melibatkan RM6.62 bilion dana kerajaan.
Menurut sumber, dana berkenaan digunakan untuk membayar IPIC seperti perjanjian yang dibuat dengan 1MDB pada April 2017.
10.09am: Sementara itu, Zahid dan Tajuddin meninggalkan mahkamah.
Zahid berkata beliau mahu ke parlimen.
Pelakon yang kini dikenali sebagai penyokong Najib, Ellie Suriati, menghampiri Zahid di lobi dan memberikan kata-kata semangat kepada bekas timbalan perdana menteri itu.
10.08am: Dalam pertuduhan keempat ke atas Najib dan Irwan, mereka didakwa pecah amanah melibatkan dana RM1.3 bilion dari subsidi kerajaan dan wang tunai yang diperuntukkan dalam Bajet 2017.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dana berkenaan diperuntukkan untuk Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M).
Mereka didakwa melakukan jenayah itu pada 10 Ogos 2017.
Pertuduhan kelima Najib dan Irwan adalah atas dakwaan pecah amanah berhubung 1.95 bilion Yuen (RM1.26 bilion) dana kerajaan pada 23 Ogos 2017.
10.06am: Pertuduhan kedua ke atas Najib dan Irwan adalah atas dakwaan pecah amanah melibatkan RM655 juta dana kerajaan, yang juga dikatakan berlaku pada 21 Disember 2016.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa dana berkenaan mempunyai kaitan dengan projek saliran paip Suria Strategic Energy Resources (SSER).
Pertuduhan ketiga Najib dan Irwan adalah atas dakwaan pecah amanah melibatkan RM220 juta dana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Bhd (KLIAB) yang diperuntukkan melalui Bajet 2017 bagi perbelanjaan operasi.
Mereka didakwa terlibat dalam perkara itu pada 3 ogos 2017.
10.05am: Mahkamah kembali bersidang.
Najib dan Irwan menghadapi pertuduhan bersama.
Dalam pertuduhan pertama, kedua-dua mereka dalam kapasiti masing-masing sebagai bekas menteri kewangan dan bekas ketua perbendaharaan negara, didakwa melakukan pecah amanah melibatkan RM1.2 bilion dana kerajaan Malaysia pada 21 Disember 2016.
Najib dan Irwan minta dibicarakan.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan kemungkinan denda.
Bagaimanapun, Najib dan Irwan tidak akan disebat kerana undang-undang tidak membenarkan individu berumur lebih 50 tahun disebat kecuali melibatkan kes rogol. Najib kini berumur 65 dan Irwan 61.
9.35am: Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tiba bersendirian.
Ketika disapa wartawan, Tajuddin berkata beliau hadir untuk memberi sokongan moral kepada kawannya.
"Saya hadir sendiri. Bekas orang atasan saya, kawan saya. Jika kawan anda ada masalah, apa yang anda akan buat? Saya tak pasti apa budaya orang lain, tapi budaya saya seperti itu. Kita hargai persahabatan. Kita perlu tunjuk simpati dalam apa jua keadaan," katanya.
9.20am: Shafee memohon sidang mahkamah ditangguhkan 30 minit untuk membolehkan beliau mengkaji pertuduhan sebelum memberi nasihat kepada anak guamnya.
Shafee menjelaskan bahawa beliau hanya diberikan salinan pertuduhan pada 8.55 pagi ini walaupun sudah memohon sejak semalam.
"Keenam-enam kertas pertuduhan sepintas lalu ditunjukkan kepada anak guam saya Najib semasa disoal siasat di SPRM semalam.
"Saya hairan kenapa boleh ditunjukkan tapi tak boleh diberi senaskhah (kepada pasukan peguam bela)," kata Shafee.
Ketua pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah.
Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad membenarkan sidang ditangguhkan.
9.18am: Mahkamah mula bersidang.
9.10am: Zahid dan anak Najib, Ashman masuk ke mahkamah dan mengambil tempat di galeri awam.
Ashman memakai sut berwarna hitam dan dilihat tenang.
9.01am: Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di mahkamah menaiki Vellfire hitam, lengkap berkemeja biru dan sut biru gelap.
Bekas timbalan perdana itu yang dilihat hadir bersendirian sempat tersenyum dan melambai kepada wartawan.
Menjawab solaan wartawan yang bertanyakan adakah dia datang untuk memberi sokongan kepada Najib, Zahid menjawab: “Sudah tentu. Saya datang untuk memberikan sokongan moral.”
8.37am: Bekas ketua pengarah MEIO, Datuk Hasanah Abdul hamid tiba dan dibawa ke mahkamah melalui pintu masuk lain daripada yang dilalui Najib dan Irwan.
8.22am: Najib tiba di pekarangan mahkamah menaiki kereta Proton Perdana TN50 dengan memakai sut kelabu. Beliau sempat senyum dan melambai kepada media yang menunggu tanpa sebarang pertukaran kata.
8.15am: Irwan tiba dengan memakai sut hitam.
Beliau dibawa ke mahkamah dari lokap SPRM dengan menggunakan van Hyundai Starex hitam.
Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam dan kira-kira 10 yang lain dilihat di lobi mahkamah.
Terdahulu, beliau memaklumkan melalui mesej teks bahawa beliau tidak menjangkakan ramai penyokong hadir ini kerana sudah mengadakan himpunan semalam.
7.55am: Najib, Irwan, and Hasanah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama.
Sementara itu, tidak seperti pendakwaan Najib sebelum ini, tiada penyokong bekas perdana menteri itu dilihat di mahkamah setakat ini.
Kira-kira 20 polis ditempatkan di bahagian pekarangan mahkamah, sementara wartawan berbaris sejak awal pagi tadi untuk masuk ke mahkamah.
Pasukan peguam Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sementara pasukan peguam Irwan dibarisi oleh K Kumaraendran, Dev Kumaraendran, Lavinia Kumaraendran, Geethan Ram Vincent dan Revin Kumar.
Pasukan peguam Hasanah pula terdiri daripada Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam and Imran Khairi Osman.
Petugas media masih beratur di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mendapatkan pas. Petugas media dibenarkan masuk melalui pagar sejak pukul 6.50 pagi.
7.50am: Hari ini merupakan kali keempat Najib tampil di mahkamah selepas dikenakan 32 pertuduhan sebelum ini.
Najib semalam dibenarkan berada di rumahnya sementara Irwan ditahan di lokap SPRM.
Pertuduhan kedua-dua mereka dijangka berhubung urusan 1MDB dengan firma pelaburan IPIC, terutamanya bayaran yang dibuat 1MDB pada 2017 berjumlah AS$1.2 bilion.
Ia selepas IPIC menarik diri daripada perjanjian pada 2015 untuk menjamin 1MDB yang ketika itu menghadapi kesukaran membayar pinjaman bank.
Penyiasat sebelum ini dikatakan meneliti bagaimana pentadbiran kerajaan yang ketika itu di bawah Najib membuat bayaran berkenaan menggunakan duit cukai tanpa kebenaran kabinet.
Sementara itu, Hasanah pula dijangka didakwa berhubung AS$12 juta dana kerajaan.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa pegawai risikan yang dikaitkan dengan jabatan yang diterajui Hasanah dikatakan menerima AS$12 juta daripada sumber asing melalui negara Timur Tengah menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Mereka didakwa menyalahgunakan kuasa untuk membawa masuk wang tunai ke Malaysia melalui lapangan terbang.