Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M, pulanglah ke Umno - Annuar Musa
Diterbitkan:  Oct 24, 2018 10:25 PM
Dikemaskini: 7:55 PM

Umno mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menyertai parti itu, maklum Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa dalam suatu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, pelawaan ini dibuat sebagai maklum balas terhadap kenyataan Dr Mahathir yang dilaporkan mempelawa anggota Umno menyertai BERSATU pada majlis Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Shah Alam, 22 Oktober lalu.

"Sebaliknya, Umno yang barangkali harus membuat tawaran balas iaitu menjemput Tun (Dr Mahathir Mohamad) dan ahli BERSATU untuk menyertai Umno.

"Sesungguhnya amat ramai ahli Umno, termasuk saya sendiri, amat sayang dan menghormati Tun (Dr Mahathir) dengan hati yang tulus ikhlas.

"Insya Allah, Umno itu tidak akan mati. Apa yang buruk, kita perbaiki bersama.

"Umat Melayu dan Islam akan lebih bersyukur kiranya ini terjadi. Sirih pulang ke gagang, belut pulang ke lumpur," katanya.

'Reda hilang pemimpin yang diseret ke mahkamah'

Menurutnya lagi, anggota Umno seramai 3.6 juta orang dari 22,000 cawangan reda hilang pemimpinnya tetapi tidak akan menukar parti yang didakwanya telah berjaya menghapuskan politik wang.

"Yang sering bermasalah dalam Umno adalah pemimpinnya, yang bertukar parti adalah pemimpinnya, yang berebut kuasa adalah pemimpinnya, yang rasuah adalah pemimpinnya dan diseret ke mahkamah adalah pemimpinnya.

"Justeru ahli Umno reda hilang pemimpinnya, namun mereka tidak menukar partinya.

"Politik wang sudah dihapuskan dan kini politik wang menjadi amalan parti lain yang berhijrah dari Umno," katanya.

Annuar turut berkata BERSATU "sangat lemah" dan mengaitkannya dengan pembubaran semua bahagian parti itu di Negeri Sembilan.

"Misalnya ahli Umno di Negeri Sembilan, tentu sukar kerana BERSATU di sana terpaksa dibubarkan. Begitu juga di negeri-negeri lain di mana BERSATU sangat lemah, terlalu kecil dan tiada sambutan daripada rakyat (pada PRU14).


BACABERSATU bubar semua bahagian Negeri Sembilan - Muhyiddin


"Perjuangan orang Melayu dan umat Islam serta rakyat Malaysia di bawah Tun (Dr Mahathir) akan menjadi lebih stabil, kuat dan berkesan apabila Tun diperkasakan melalui wadah parti Umno dan bukannya BERSATU," jelasnya.

Annuar juga mendakwa BERSATU akan berhadapan masalah sekiranya Dr Mahathir sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri kelak.

"Sangatlah merbahaya bagi ahli Umno menyertai BERSATU kerana BERSATU tanpa Tun (Dr Mahathir) menjadi PM nanti, bakal lebih terhimpit lagi.

"Presiden BERSATU (Tan Sri Muhyiddin Yassin) juga tersangat uzur walau kita mendoakan kesihatannya pulih.

"Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara dan Dr Mahathir sudah tiada lagi, BERSATU bakal bermasalah lebih parah lagi," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan masalah yang bakal dihadapi BERSATU itu.

Menurut Annuar yang juga MP Ketereh walaupun tawaran untuk menyertai BERSATU amat menggiurkan wakil rakyat yang "kemaruk kedudukan" dalam kerajaan namun, "ia tidak menarik bagi majoriti ahli Umno."

Dr M: Ramai ahli Umno minat sertai BERSATU

September lalu, perdana menteri menafikan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin Umno sebagai tekanan untuk mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir menegaskan polis serta SPRM berhak menyiasat mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam jenayah.

Sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu yang menyaksikan BN kehilangan kuasa selepas memerintah lebih 60 tahun, seramai enam wakil rakyat parti Umno telah mengumumkan keluar parti.

Paling baru, MP Labuan Datuk Rozlan Isli yang keluar Umno dengan hasrat menyertai WARISAN, parti dari Sabah yang bergabung dengan kerajaan persekutan Pakatan Harapan.

Pada penghujung Mei lalu, dilaporkan BERSATU menerima 1,000 permohonan keahlian setiap hari selepas PRU14.

“Kita dapati orang ramai sekarang ini berminat menyertai BERSATU, kebanyakan mereka ahli-ahli Umno.

“Selepas kita menang, orang mula minat menyertai parti BERSATU, sekarang ini kita terima 1,000 permohonan minta jadi ahli dan kita alu-alukan hasrat mereka,” kata Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS