Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PEMILIHAN PKR | Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir menafikan dakwaan dia memberi arahan kepada pengundi semasa proses pemilihan PKR berlangsung baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini Akmal mengakui dia berada di tempat pengundian berkenaan dan bercakap kepada anggota parti yang sedang mengundi.

Bagaimanapun katanya tindakan itu dibuat dengan sebab tertentu.

"Saya sangka pengawas yang ada di situ membantu anggota PKR mengundi sebab dia menekan peranti berkenaan (bagi pihak ahli terbabit).

"Memang saya campur tangan dan meminta dia (pengawas) membatalkan semula undian yang dibuatnya.

"Walaupun saya tak menyentuh tablet itu saya ada meminta dia tidak mencampuri kebebasan ahli untuk membuat pilihan.

"[...] Saya sebenarnya melindungi pengundi," katanya yang dihubungi hari ini.

Isu itu menjadi perhatian apabila salah seorang calon PKR, Richard Tan, menunjukkan kepada media rakaman video insiden tersebut.

Hormati prosedur yang ada

Melalui klip berkenaan Akmal kelihatan membantu seorang pengundi membuat pilihan.

Tan membangkitkan isu berkenaan pada 5 Okt lalu dan mahu kemenangan Akmal - yang bertanding untuk jawatan ketua Cabang Johor Bahru - dibatalkan.

Pemilihan tersebut berlangsung pada 30 Sept lalu.

Mengenai dakwaan dia menunjukkan cai (senarai calon) yang perlu diundi kepada anggota parti, Akmal berkata ejen pengundian sebenarnya cuba menyembunyikan cai lain yang dibawa pemilih.

Bagaimanapun kata Akmal anggota PKR yang mahu mengundi memang dibenarkan membawa cai sebagai panduan.

"Saya sebenarnya memberitahu ejen terbabit bahawa dia tak boleh menafikan hak anggota parti untuk membuat rujukan pada cai," katanya.

Menjawab desakan supaya meletakkan jawatan sebagai ketua cabang dan menarik diri daripada persaingan jawatan ketua Pemuda PKR kebangsaan, Akmal berkata tidak ada sebab untuknya berbuat demikian.

"Dia (Tan) bukan orang yang boleh membuat keputusan kerana ia adalah hak jawatankuasa pemilihan.

"Dia sudah membangkitkan isu ini kepada jawatankuasa dan menggunakan saluran yang betul. Jawatankuasa pemilihan sudah membuat keputusan (dengan menghantar surat amaran).

"Mengapa susah sangat untuk mereka menghormati prosedur pemilihan?

"Kalau tak boleh hormat, kamu tak sepatutnya menyertai proses pengundian sama sekali," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS