Kembali menyanggah Kelantan, Lim Guan Eng hari ini tampil mengemukakan data daripada Kementerian Kewangan untuk membuktikan negeri terbabit mengalami kekurangan dana untuk membayar gaji kakitangannya.
Bercakap kepada media di parlimen hari ini Lim menunjukkan surat dari Pejabat Perbendaharaan Kelantan yang meminta bantuan pinjaman daripada pusat untuk membayar gaji kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Surat itu ditulis Pegawai Kewangan Negeri Kelantan Datuk Nik Kazim Nik Yusoff.
“Ini (surat) bukan daripada saya, dari Kelantan," katanya.
Melalui salinan surat itu, Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.
Surat bertarikh 18 Jun 2018 itu menyatakan Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punsa baru sumber hasil.
"Implikasi shortfall ini akan menyebabkan kerajaan negeri terdedah kepada kelewatan pembarayan gaji kakitangan termasuk sambilan sebanyak RM24.5 juta sebulan, serta bayaran bil-bil melebihi 14 hari," kata surat itu.
Surat itu juga menyatakan kerajaan Kelantan memohon pendahuluan sebanyak RM97 juta bagi menampung aliran wang tunai Kelanta untuk 2018.
Lulus walaupun ada tunggakan
Turut dijelaskan dalam surat itu bagaimana Kelantan mencatatkan aliran menaik defisit akaun semasa dengan jumlah terkumpul berjumlah RM19.46 juta dan defisit kumpulan wang pembangunan berjumlah RM45.03 juta, tidak termasuk tanggungan semasa berjumlah RM49.73 juta.
Kata Lim sebagai kerajaan apa yang dinyatakan mengenai kedudukan kewangan Kelantan dibuat berdasarkan angka-angka dan fakta sebenar.
“Pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka, bukannya sentimen dan fitnah jahat.
“Sukar memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka,” katanya.
Baca MP PAS kata Guan Eng fitnah Kelantan
Lim yang juga anggota parlimen Bagan menambah, Kelantan menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM100 juta yang belum dijelaskan sehingga 31 Disember 2017.
Dalam keadaan begitu Kota Bharu sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan pada Jun tahun ini.
"Biarpun masih ada tunggakan besar, permohonan itu telah diluluskan.
Semalam, Lim mendedahkan Kelantan menerima pemberian (grant) daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM398 juta termasuk RM59.9 pemberian defisit kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai hasil mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji kakitangan awam.
Baca 'Guan Eng jangan lupa pernah menangis minta bantuan pusat'
Ditanya tentang tentang kelulusan pinjaman pendahuluan terdahulu (Jun) sebanyak RM22.5 juta berbanding permohonan sebanyak RM24.5 juta, kata Lim, jumlah itu adalah pemberian segera bagi memenuhi keutamaan semasa.
“Ini untuk gaji, jadi (kita) cuba cepat-cepat bagi dahulu.
"Apabila kita beri (begitu saja kepada) sesiapa yang minta, saya rasa itu bukanlah tindakan belanjawan yang berhemah.
“Jadi kita bagi apa yang perlu dahulu iaitu (untuk membayar gaji) kakitangan kerajaan negeri,” katanya.
Lim turut mendedahkan Kelantan sekali lagi membuat permohonan terbaharu dan permohonan itu turut diluluskan.
Lim bagaimanapun tidak mahu mendedahkan jumlah permohonan baru itu buat masa ini.