Datuk Seri Nazri Aziz hari ini sekali lagi menegaskan sokongan padunya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kedua-dua mereka dipisahkan oleh parti yang berbeza.
Malah dalam kenyataannya kepada media di lobi parlimen hari ini bekas menteri kanan dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu membayangkan sokongan tersebut bersifat benar-benar ikhlas.
"Saya sokong Anwar, sama ada dia jadi perdana menteri atau tidak, saya tetap sokong.
"Saya sentiasa menjadi sahabatnya," kata Nazri.
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ditanya mengenai hubungan beliau dengan Anwar yang kini menjadi anggota parlimen Port Dickson.
Sebelum ini Nazri sudah menyatakan sokongannya kepada Anwar ketika presiden PKR itu menyertai pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.
Sokongan terbuka itu - serta tawarannya berkempen untuk Anwar - dibuat ketika Umno memboikot PRK berkenaan.
Walaupun begitu Nazri tidak turun padang untuk membantu kempen Anwar di Port Dickson.
Baca Nazri mahu kempen untuk Anwar di PD
Kata Nazri sokongan tersebut tetap sentiasa diberikan walaupun sebelum Pakatan Harapan (HARAPAN) menjadi kerajaan.
"Masa dia susah saya tetap sokong dia (Anwar) walaupun saya menteri (ketika itu).
"Sewaktu Nurul Izzah kahwin pun saya hadir. Saya akan tetap sokong Anwar sama ada dia perdana menteri atau tidak," katanya.
Ambil masa sesuaikan diri
Bagaimanapun Nazri menegaskan kenyataan itu tidak bermaksud beliau akan meninggalkan Umno seperti yang dilakukan sesetengah pemimpin parti terbabit.
Nazri yang juga anggota parlimen Padang Rengas menjelaskan politik Malaysia sangat "cair" serta dinamik sehingga pelbagai perubahan boleh berlaku pada sebarang masa.
Katanya banyak hal yang tidak dijangka sebelum ini, sudah menjadi kenyataan.
Ditanya sama ada beliau menjangkakan akan ada lebih ramai pemimpin Umno meninggalkan parti tersebut, Nazri menjawab beliau tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain.
"Tetapi untuk saya, saya tidak akan meninggalkan Umno," katanya.
Dalam pertemuan itu Nazri juga ditanya mengenai kelibatnya yang lama tidak kelihatan selepas BN dinafikan haknya untuk kekal menjadi kerajaan melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.
Kata Nazri, apa yang berlaku ialah beliau melalui tempoh peralihan.
"Saya berada dalam kerajaan sejak 1995.
"Saya cuba menyesuaikan diri menjadi pembangkang, tapi kamu sendiri tahu, ia mengambil sedikit masa," katanya.
Kini kata Nazri - yang terkenal dengan kenyataan berterus terang itu - beliau akan melibatkan diri dalam perbahasan di Dewan Rakyat.
"Saya harap ia memberi sumbangan positif kepada sebarang rang undang-undang yang saya rasa bahaskan," katanya.