PEMILIHAN PKR | Kekecohan berlaku lagi dalam pemilihan PKR, kali ini membabitkan tiga daripada enam cabang PKR Selangor yang mengadakan undian hari ini.
Kekecohan tersebut dipercayai membabitkan pertengkaran di antara penyokong bagi jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli.
Beberapa rakaman video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pertelingkahan antara penyokong tersebut di pusat pengundian di cabang PKR Puchong dan Gombak.
Di Puchong, kekecohan berlaku di antara dua kumpulan penyokong di pintu masuk utama pusat pengundian di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya di Seri Kembangan.
Beberapa pegawai polis juga dilihat berada di tempat kejadian.
Setakat ini tidak jelas apa sebenarnya punca yang telah mencetuskan kekecohan itu.
Menurut KiniTV, kekecohan singkat turut berlaku di pusat pengundian PKR Gombak di Sungai Tua pagi ini, selepas anggota parti dari Lembah Pantai dilihat berada dalam dewan.
Perbalahan itu berlanjutan sehingga ke luar dewan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga ADUN Sungai Tua tiba di tempat kejadian selepas kekecohan itu berakhir.
Bagaimanapun beliau berkata tiada pergaduhan berlaku sebaliknnya hanya penyokong menjerit dan cuaca panas menjadikan keadaan tidak terkawal.
Beliau juga berharap pihak polis dapat mengawal keadaan lebih baik berbanding sebelum ini.
Di Petaling Jaya, Malaysiakini juga difahamkan beberapa ahli PKR Petaling Jaya Utara telah ditangkap kerana didakwa menjadi "pengundi hantu".
Namun jumlah mereka tidak dapat disahkan.