Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan: Anwar mahu bangkit isu Uighur ketika berkunjung ke Beijing
Diterbitkan:  Oct 19, 2018 6:10 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan membangkitkan isu layanan kerajaan China terhadap umat Islam Uighur ketika berkunjung ke Beijing, minggu depan.

"Isu tentunya tentang hak mereka (Uighur) untuk agama (dan) bergerak.

"Pendirian kita adalah tidak membenarkan sebarang bentuk keganasan, sama ada oleh masyarakat atau negara," katanya seperti dipetik dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Anwar akan bertemu pemimpin Parti Komunis Cina ketika program syarahan di Universiti Renmin di China.

Menurut laporan itu, antara isu yang dijangka akan dibangkitkan anggota parlimen Port Dickson itu dengan pegawai kerajaan China termasuk perkembangan berkenaan tahanan besar-besaran terhadap etnik Uighur, serta menggesa Beijing untuk mengiktiraf hak komuniti itu untuk beragama dan bergerak.

China bertegas penjenayah di Xinjiang telah diserap dalam pendidikan vokasional dan program latihan sebagai sebahagian langkah menangani ekstremisme di wilayah barat China itu.

Ditanya tentang langkah Malaysia membebaskan sebelas etnik Uighur, yang ditahan di Malaysia Februari lalu, dan menghantar mereka ke Turki di sebalik permintaan China agar Malaysia memulangkan mereka, Anwar berkata: "Jika kita mendapati kes mereka sah, kita patut membantu mereka."

Walaupun isu umat Islam Uighur menjadi keutamaan, Anwar menegaskan beliau juga akan menumpukan soal menambah baik hubungan antara dua negara.

Hubungan antara Malaysia dan China merosot setelah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membatalkan beberapa projek infrastruktur mega melibatkan pelaburan China, atas sebab kos yang tinggi serta terma berat sebelah.

"Saya akan menekankan keperluan hubungan dua hala yang efektif dan kuat," kata Anwar seperti dipetik.

Beliau juga berkata akan meminta Beijing melihat melangkaui projek pembangunan, sebaliknya membuat pelaburan dan pemindahan teknologi yang substantif di Malaysia.

Bantah langkah Australia

Dalam pada itu, Anwar turut mengkritik cadangan Perdana Menteri Australia Scott Morrison baru-baru ini untuk memindahkan kedutaan negara itu di Israel, dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

"Saya gagal memahami mengapa Australia perlu tunduk kepada dasar (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump yang tidak popular," katanya.

Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei lalu.

Langkah itu dibantah banyak negara, termasuk Malaysia, kerana ia dilihat sebagai mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Sedangkan pemilikan kota itu merupakan satu pertikaian panjang antara Israel dan Palestin.

Anwar turut mengulas krisis Rohingya dalam wawancara itu dengan menyatakan keperluan ASEAN untuk memiliki "suara yang lebih efektif" dalam membantah pentadbiran Myanmar.

"Kita bukan mempromosikan perang, tetapi kita perlu menyarakan rasa tidak senang yang tegas terhadap intimidasi dan pencabulan politik terhadap golongan minoriti itu."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS