Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Tempoh jawatan PM, MB, KM dihadkan 2 penggal
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 5:18 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

RMK11 | Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah reformasi politik pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) termasuklah mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri kepada dua penggal.

"Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan.

"Tempoh perkhidmatan jawatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri akan dihadkan kepada dua penggal.

"Perdana menteri juga tidak akan memegang portfolio lain," kata Dr Mahathir semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Perdana menteri juga berkata penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksanakan, antaranya dengan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

"Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media.

Had umur mengundi turun 18 tahun

"Had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenal," ucap beliau lagi.

Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata menjadi keutamaan pertama pentadbiran HARAPAN untuk menambah baik urus tadbir pada semua peringkat.

"Sistem pentadbiran undang-undang juga akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya supaya diurus oleh dua individu yang berlainan.

"Kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan
semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

"Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

"Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen," katanya.

Pengerusi HARAPAN berkata hubungan antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

"Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS