Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Akhlak kamu rendah, beli undi kerja haprak syaitan - Anwar

Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat aduan berhubung kegiatan politik wang sepanjang pemilihan parti berlangsung dan membidas mereka yang berbuat demikian.

Mengulas pemilihan parti itu, katanya, beliau masih boleh bertolak ansur dengan pemimpin yang menjamu makan dan minum untuk penyokong yang datang dari jauh, tetapi tindakan 'membeli undi’ sama sejkali tidak boleh diterima.

“Kerja membeli undi itu adalah kerja haprak syaitan!

“Kamu tak hebat, akhlak kamu rendah. Orang sokong kamu kerana kamu ada wang.

“Kita lawan selama 20 tahun sistem ini (politik wang), dan kita tak harus izinkan ia kembali,” katanya, dalam sesi soal-jawab program Meet Anwar Ibrahim di Dewan Canselor Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, malam semalam.

Anwar turut mengaku mendapat panggilan daripada beberapa orang pemimpin yang mengadu mengenai masalah itu.

“Memang ada berlaku. Ada beberapa orang telefon saya, tetapi saya minta kemukakan bukti,” katanya.

Isnin lalu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menyuarakan kebimbangan terhadap budaya politik wang yang semakin berleluasa pada musim pemilihan parti PKR.

Rafizi berkata antara sebab utama beliau mengambil keputusan bertanding jawatan timbalan presiden parti adalah bagi membendung budaya politik wang daripada terus merebak dalam PKR.

Kebimbangan Rafizi turut dikongsi oleh pesaingnya bagi jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang turut menyeru anggota parti untuk menolak calon-calon yang mengamalkan budaya itu.

Golongan 'jumud, kolot dan bengis' bawa fahaman Islam sempit

Pada sesi itu, Anwar menyeru mahasiswa agar tidak terheret dengan fahaman dan pendekatan Islam sempit yang membuatkan orang lain takut terhadap Islam.

Katanya, umat Islam tidak harus melupakan prinsip kasih-sayang yang ditekankan dalam Islam terutamanya di negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

“Kenyataannya, Malaysia ini terdiri daripada masyarakat majmuk yang pelbagai kaum.

“Kalau kita bawa pendekatan islam yg sempit dan terbatas, kita akan menunjukkan sikap memusuhi dan tidak menghormati budaya orang lain,” katanya.

Justeru, Anwar menekankan kepentingan penglibatan mahasiswa dalam gerakan Islam agar ia tidak hanya dikuasai oleh golongan yang disifatkannya sebagai 'jumud, kolot dan bengis’.

“Buat golongan ini, Islam itu hanya akan tertegak dengan menghukum orang. Lagi kuat sebat, lagi hebat Islam dia.

“Padahal Islam tertegak dengan kefahaman dan kasih sayang, seperti Saidina Umar al-Khatab yang pernah menggunakan wang khazanah negara untuk membayar seorang yahudi yang hidup miskin dan melarat.

“Benda ini kita tak hebahkan pula, sebaliknya kita takut-takutkan . Pendekatan kita sebenarnya yang membuat orang takut terhadap islam,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS