Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan reaksi jelak apabila terus diajukan dengan soalan tentang tuduhan liwat ke atasnya.
Katanya, isu itu tidak lagi sepatutnya timbul memandangkan sudah terlalu banyak maklumat terperinci bagi menjawab tuduhan itu sudah tersebar dalam pelbagai bentuk.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan seorang pelajar kepadanya ketika sesi soal jawab program Meet Anwar Ibrahim di Dewan Canselor Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, malam semalam.
Seorang pelajar memintanya mendedahkan sama ada dia benar-benar bersalah ataupun hanya menjadi mangsa fitnah.
Menurut pelajar itu, selama ini rakyat hanya mendengar cerita daripada pihak pendakwa dan belum ada penjelasan dari pihaknya sendiri.
“Saya mulakan ucapan saya tadi dengan nasihat supaya mahasiswa belajar bersikap terbuka, dan dengar (maklumat).
“Sekarang sudah 2018. Kalau kamu masih tak faham lagi (tentang kes liwat), kamu baca apa? Kamu dengar apa?
“Kita dah terangkan di Youtube, di Facebook, dan ada buku yang menerangkan semuanya sekali. Bacalah, jangan malas,” jawabnya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Anggota parlimen Port Dickson yang baru mengangkat sumpah dua hari itu turut memberitahu bahawa rakyat sudah tidak berminat dengan isu itu.
“Apakah kita nak menjadi mangsa fitnah orang, atau hendak mencari kebenaran dengan mendengar dan membaca semua maklumat?
“Bukan saya marah, saya ingatkan,” pesannya lagi.
Anwar turut mengulangi pesanan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V kepadanya setelah dibebaskan dari penjara.
Katanya, baginda memberi keampunan kepada beliau bukan semata-mata kerana baginda ada kuasa, tetapi kerana baginda yakin dia tidak bersalah.
Kerana itu, katanya, baginda memberi peringatan kepadanya agar tidak mengizinkan perkara zalim yang menimpanya turut dilakukan ke atas orang lain pula apabila dia berkuasa kelak.
Program Meet Anwar Ibrahim itu merupakan acara pertama Anwar selaku anggota parlimen, yang dianjurkan oleh Unisel dengan kerjasama Kelab Anwar Ibrahim.
Kali terakhir Anwar melakukan kunjungan seumpama itu ke Unisel adalah pada sembilan tahun yang lalu.