Penyandang Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mengingatkan pimpinan muda PKR supaya tidak menggunakan politik wang dan salah guna kuasa dalam parti.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Azmin berkata mereka perlu menginsafi perjuangan pemimpin PKR terhadap rakyat.
Katanya lagi, pemimpin PKR juga tidak menggunakan politik wang bagi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu.
“Anggota khususnya yang muda, yang ingin menawarkan khidmat dalam parti harus belajar dari pemimpin lama dalam perjuangan ini melalui satu proses yang getir, berjuang untuk rakyat dan meyakinkan rakyat bahawa inilah perjuangan sebenarnya .
“Jadi saya mengajak anggota parti khususnya yang menawarkan khidmat, yang muda-muda ini supaya dapat ada kebijaksanaan untuk melihat bagaimana pengasas-pengasas parti berjuang tanpa menggunakan wang dan kuasa untuk berjuang dan itu harus dipertahankan dalam perjuangan,” katanya kepada pemberita di parlimen, hari ini.
Dibincang mesyuarat biro politik
Calon Timbalan Presiden itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa budaya politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan parti PKR.
Rafizi juga menyeru anggota parti untuk menolak calon-calon yang mengamalkan budaya itu.
Mengulas lanjut, Azmin berkata pihaknya ada berbincang mengenai dakwaan itu dalam mesyuarat biro politik PKR, malam tadi.
Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) perlu menyiasat dakwaan berkenaan.
“Kita bincangkan secara umum tentang proses pemilihan. Ia mesti telus dan terbuka dan sebarang aduan yang diterima mesti disiasat JPP,” katanya.