Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kit Siang nasihat Maszlee jangan masuk perangkap Najib
Diterbitkan:  Oct 16, 2018 7:47 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menasihati Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik supaya tidak terperangkap dengan propaganda Umno dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Saya menasihati Menteri Pendidikan Maszlee Malik untuk berhenti bercakap mengenai stokin dan kasut sekolah.

"Ini supaya beliau tidak terjerumus dengan perangkap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan cybertrooper serta tukang propaganda Umno yang mahu mempamerkan imej beliau sebagai menteri yang biasa-biasa dan kurang mempunyai visi serta matlamat dalam transformasi pendidikan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim secara menyindir berkata Maszlee sebaliknya perlu membuktikan beliau merupakan menteri pendidikan yang lebih baik berbanding Najib ketika memegang jawatan berkenaan sejak tahun 1995 hingga 2000.

“Sebab itulah Maszlee kena cepat belajar komunikasi moden dan menumpukan tenaganya untuk membuktikan yang beliau adalah menteri pendidikan yang lebih baik daripada Najib sendiri,” kata Lim.

Anggota parlimen Iskandar Puteri itu berkata kenyataan dibuat Najib terhadap Maszlee bertujuan mengalih perhatian daripada penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Menurutnya hanya satu peratus kenyataan Maszlee dipetik daripada temu bual dengan Sinar Harian, manakala selebihnya mengenai reformasi pendidikan "diabaikan sepenuhnya".

Terdahulu, Najib menerusi tulisan di Facebook semalam menyindir kenyataan Maszlee yang dipetik Utusan Malaysia berhubung pemakaian warna stokin pelajar di sekolah.

Maszlee dilaporkan berkata perkara itu akan diputuskan kementerian pendidikan selepas perbincangan dengan semua pihak selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam pada 2021.

“Saya tidak faham mengapa ada yang mengkritik dia.

“Warna kasut dan stokin sebenarnya penting dalam perkembangan dan pembentukan pelajar yang sempurna,” sindir Najib menerusi akaun media sosialnya.

Susulan itu Maszlee mengkritik semula bekas perdana menteri itu kerana cepat mensensasikan “perkara remeh”, namun mengabaikan isu yang lebih penting yang diusahakan kementeriannya.

Menerusi akaun Twitternya beliau berkata: “Saya cakap perkara trivial kurang satu minit @UMonline sensasikan, DS @NajibRazak pun berminat.

“Saya bincang perkara penting, hospital universiti tak ada yang nak sensasikan?” soalnya dalam sidang media selepas program lawatan ke Jabatan Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS