Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengakui perasaannya bercampur baur melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Port Dickson, menggantikan tempatnya, hari ini.

Danyal yang mengakui secara suka rela menyerahkan kerusinya kepada Anwar berkata beliau gembira melihat bakal presiden PKR itu mengangkat sumpah.

Namun pada masa, katanya, beliau sedih kerana tidak lagi berpeluang bersama ramai rakannya di Dewan Rakyat.

“Rasa bercampur baur, saya rasa sukacita tapi sedih sebab saya ada ramai kawan dalam parlimen, rasa bercampur baur, tapi tak apalah sebab saya nak Anwar berada di sini, di Parlimen dan laksanakan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN),” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Anwar mengangkat sumpah anggota parlimen Port Dickson pada pukul 10.04 pagi tadi di hadapan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Ia adalah aturan urusan mesyuarat pertama bagi sidang hari ini sebelum sesi soal jawab lisan.

Selepas lebih 20 tahun, Anwar kini kembali ke Dewan Rakyat sebagai seorang ahli parlimen dalam barisan kerajaan persekutuan.

Beliau diberikan tepukan gemuruh apabila namanya dipanggil untuk mengangkat sumpah dan juga ketika acara itu selesai.

Sabtu lalu, Anwar memenangi PRK Parlimen Port Dickson dengan majoriti besar dengan memperoleh 31,016 undi mengatasi pencabar terdekatnya Mohd Nazari Mokhtar dari PAS yang hanya mendapat 7,456 undi.

Ketua Umum HARAPAN itu memperoleh majoriti yang lebih besar iaitu 23,560 undi berbanding 17,710 undi yang dicatatkan Danyal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Danyal turut melahirkan keyakinan bahawa Anwar akan melaksanakan tugas dengan baik berdasarkan pengalaman yang dimiliki sebelum ini.

“Mereka (pengundi) di Port Dickson bagi maklum balas (melalui undi), dia (Anwar) diterima dari semua bangsa, saya tak rasa ia satu masalah untuk Anwar kerana sebelum ini beliau timbalan perdana menteri.

“Saya pasti akan ada perubahan drastik, dan Tun Dr Mahathir dan Anwar akan bekerjasama mencapai progres (kejayaan),” katanya.

Gandingan Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga ahli parlimen Pandan, serta anak mereka, ahli parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mencatat sejarah baru dalam arena politik tanah air.

Ia menyaksikan tiga wakil rakyat dalam sebuah keluarga di Dewan Rakyat dalam penggal yang sama.

Anwar dibebaskan dari penjara pada Mei lalu selepas rayuan pengampunan penuhnya yang diputuskan Lembaga Pengampunan mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari pada 2008.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS