Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Peluang yang terlepas dan langkah seterusnya buat Malaysia'
Diterbitkan:  Oct 14, 2018 11:55 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

SOAL JAWAB | Berlalunya tarikh 9 Mei 2018, Malaysia melangkah ke era baru yang menawarkan segala kemungkinan, dan bersama-samanya membawa bermacam ketidaktentuan.

Pakar ekonomi Prof Dr Jomo Kwame Sundaram antara yang dipanggil untuk membantu kemudi baru itu melalui Majlis Penasihat Kerajaan yang kini sudah dibubarkan.

Pada sesi soal jawab kali ini, Jomo  'meruntuhkan' petunjuk ekonomi era BN yang baginya tidak menggambarkan keadaan sebenar dan 'peluang terlepas' pentadbiran lalu dalam memajukan perindustrian negara.

Beliau juga menawarkan pandangannya - antara lain -  tentang keadaan orang Melayu era HARAPAN serta peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenapa Prof dilantik menganggotai Majlis Penasihat (CEP) walaupun pernah banyak mengkritik pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan peranan Tun Daim Zainuddin?

Soalan itu patut ditujukan kepada mereka, bukan kepada insan kerdil seperti saya. Selama ini, kerja, tulisan dan ucapan saya bertujuan mencapai keadilan, pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat Malaysia. Walaupun pasti ada pihak tertentu tidak setuju dengan kritikan saya, kedua-dua Tun Mahathir dan Tun Daim telah memberi peluang untuk meneruskan usaha itu dalam era Malaysia baru.

Kami yang mula mengkritik pemerintahan dulu tentang dasar cukai, GST, hutang, liabiliti lain, peranan perusahaan milik pemerintah dan yang dikuasai mereka, dasar penswastaan, pembangunan dan perindustrian, agihan ekonomi, pemusatan kuasa di Jabatan Perdana Menteri, serta projek pasti rugi yang bertujuan mendapatkan wang untuk perdana menteri BN terakhir serta kroninya seperti ECRL.

Kritikan terhadap penyelewengan, penyalahgunaan kuasa serta perkara lain yang rosak mesti disusuli dengan syor atau cadangan bernas untuk masa depan tanah air. Kita harus mengambil iktibar, bukan hanya daripada kejayaan, tetapi juga daripada kegagalan.

Pengalaman saya di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah banyak mengasah kemampuan saya, misalnya dalam menangani krisis kewangan antarabangsa 2008-2009, menggubal cadangan untuk memastikan rakyat dunia dapat menikmati kuasa elektrik tanpa kesan buruk dari segi pemanasan bumi, dan juga untuk membaiki pemakanan serta kesihatan rakyat dunia.

Jelas bahawa Mahathir ingin menyambung semula usaha lamanya untuk memodenkan Malaysia, misalnya dengan meningkatkan kemampuan teknologi supaya dapat mengeluarkan produk lebih canggih. Saya berharap kami dapat membantu usaha mulia dengan merebut peluang selepas 9 Mei lalu, akibat penipuan serta pencurian yang dilakukan regim lama.

Zaman telah berubah. Sudah tentu apa yang boleh dan harus dilakukan juga telah berubah. Kalau kita tidak memikirkan hal ini, kita hanya bersifat degil. Walaupun kita terus berpegang kepada nilai, prinsip dan cita-cita, keadaan baru memaksa kita menyesuaikan analisis, kesimpulan serta tindakan selanjutnya berdasarkan hakikat yang dihadapi.

Benarkah belanjawan defisit akan berlaku lagi?

Setiap Belanjawan Negara selama dua dasawarsa lalu - setelah krisis kewangan Asia - melibatkan defisit, iaitu jangkaan perbelanjaan yang melebihi hasil pendapatan. Sebelum 1998, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri kewangan, Malaysia mengalami lebihan Belanjawan pada awal dan pertengahan tahun 1990-an.

Sikap pentadbiran BN agak aneh, ibarat ‘menang sorak, kampung tergadai’. Bukan hanya kampung, tetapi negara tergadai, dan kerugian kita bukanlah sedikit. 1MDB sahaja melibatkan kerugian sekitar RM40-60 bilion!

Ada juga kerugian akibat pinjaman Exim Bank China lebih daripada RM30 bilion untuk projek ECRL dan dua projek paip gas!

Sudah jatuh, ditimpa tangga pula! Ada beberapa projek lain di mana harga kontrak untuk kroni jauh lebih tinggi daripada yang sepatutnya. Ada juga pembelian aset swasta daripada kroni oleh GLC dan GLIC dengan harga terlalu tinggi di samping penjualan harta negara dengan harga murah.

Kerajaan baru selalu menekankan bahawa hutang negara merupakan masalah utama yang perlu ditanganinya. Betulkah?

Hutang kerajaan telah meningkat berlipat ganda dan hutang dijamin kerajaan melipat dua kali ganda pada zaman Najib. Hutang 1MDB dulu diambil untuk banyak sebab, termasuk membiayai Umno BN menjelang PRU ke-13. Banyak penyelewengan telah berlaku dalam usaha membayar hutang 1MDB. Syarat pinjaman itu teruk dan berat sebelah.

Banyak lagi urus niaga kerajaan, termasuk GLIC dan GLC, menguntungkan pihak lain, seperti kroni yang mendapat kontrak. Harga mengikut kontrak biasanya terlalu tinggi. Kontrak ECRL dijangka sebanyak RM81 bilion, sebelum mengambil kira bunga, hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding anggaran awal. Pada masa sama, ada pihak lain yang sanggup membina projek ECRL dengan harga RM10 bilion.

Untung dari projek demikian tidak pernah dijangka. Akhirnya, hutang itu mesti dijelaskan kerajaan, dengan duit rakyat.

Yang jelas, penipuan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa. Semua perkara ini mesti disiasat untuk mengurangkan beban hutang yang bertimbun pada zaman Najib demi mengurangkan hutang yang mesti dibayar kerajaan, yang akhirnya, ditanggung oleh rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, pada masa akan datang.

Kerajaan harus meninjau kembali semua hutang, terutamanya yang besar, untuk mengurangkan bebannya, misalnya dengan menukar sumber serta syarat pinjaman.

Tetapi tiada sebab untuk terlalu memberi perhatian kepada soal pengurangan hutang sehingga kerajaan tidak mampu membelanja langsung, sama ada untuk membantu mereka yang hidup susah, ataupun untuk melabur dalam projek penting yang perlu untuk menghidupkan semula pertumbuhan, pembangunan serta kemajuan.

Apakah langkah yang perlu diambil kerajaan PH bagi elakkan negara terjerumus dalam krisis ekonomi baru?

Akibat dasar liberalisasi ekonomi, termasuk globalisasi, dunia telah banyak berubah sejak tahun 1980-an. Akibat ‘globalisasi kewangan’ serta dasar BN, kita lebih terdedah sekali lagi kepada pasang surut ekonomi antarabangsa. Pada dasawarsa lepas, pengaruh kepentingan kewangan terus berkembang sekali lagi, walaupun merekalah yang menyebabkan krisis kewangan dunia 2008-2009, yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi lembab sehingga sekarang.

Malaysia pernah menjadi mangsa krisis kewangan serantau pada 1997-1998 walaupun syarikat Malaysia tidak banyak meminjam daripada bank asing, bukan seperti Thailand atau Indonesia. Malah, hutang kerajaan Malaysia telah berkurangan akibat lebihan Belanjawan zaman Anwar pada tahun 1990-an.

Maka, Malaysia dilanda krisis serantau walaupun tidak ‘buat salah’. Krisis kewangan boleh berlaku walaupun pengurusan ekonomi bertanggungjawab.

Namun, kalaulah sebuah ekonomi itu ‘lemah’, dan kelihatan tidak diurus dengan cermat, sudah pasti lebih mudah dilanda krisis.

Kalaulah tercetusnya krisis di tempat lain, tiada jaminan wabak itu tidak akan menular ke Malaysia. Dewasa ini, kenaikan kadar bunga di AS akan menarik semula modal yang pernah mengalir dari sana.

Apakah kejatuhan pasaran saham menunjukkan bahawa krisis ekonomi akan berlaku?

Pasang surut pasaran saham akibat keyakinan para pembeli saham terhadap masa depan saham masing-masing, yang jarang berasaskan keadaan ekonomi keseluruhan. Maka, kita tidak patut menggunakan petanda pasaran saham sebagai petanda ekonomi nasional.

Oleh itu, walaupun pasaran saham Amerika Syarikat sedang terus melambung sejak Donald Trump dipilih sebagai presiden, itu tidak bererti bahawa tiada bahaya terhadap ekonomi dunia, sistem kewangan, ataupun pasaran sahamnya.

Apa yang perlu dilakukan bagi memulih nilai ringgit?

Kebanyakan ekonomi pasaran sedang muncul telah mendapat modal luar setelah bank pusat negara berekenomi maju menurunkan kadar bunganya kepada paras rendah untuk menghidupkan semula ekonomi masing-masing.

Setelah kadar bunga dinaikkan semula oleh AS pada tahun lalu, modal telah mengalir ke sana semula. Ini pula telah menyebabkan kadar tukaran mata wang lain menyusut. Maka, penyusutan nilai ringgit sekarang tidak menghairankan.

Tetapi yang anehnya ketika zaman Najib, nilai ringgit telah menyusut ketika nilai mata wang ekonomi pasaran yang muncul lain sedang meningkat. Itu akibat pembocoran penipuan 1MDB.

Saya bukan ahli nujum dan tidak berani meramalkan masa depan mata wang ringgit. Usaha mempertahankan nilainya pada paras tertentu akan memakan belanja besar, dan akhirnya, barangkali akan gagal. Biar pasaran menentukan kadar tukarannya kerana pasang surut demikian bersifat sementara walaupun mungkin mengambil tempoh sedikit lama.

Sekarang, semua orang tahu pasaran itu bukan hanya melibatkan penawaran dan permintaan sebenar, tetapi banyak faktor lain juga, termasuk prasangka serta kepercayaan lain.

Pasaran itu dapat membantu, misalnya dengan mengadakan persaingan, yang boleh meningkatkan kecekapan serta daya pengeluaran. Tetapi kuasa dunia juga boleh menjahanamkan ekonomi terlalu terbuka, seperti kita pernah alami dulu.

Apakah usaha menangani skandal 1MDB merupakan prioriti bagi mengelakkan krisis lebih besar?

Ketamakan dan kerakusan berkas perdana menteri serta keluarga dan kroninya telah merosakkan ekonomi tanah air. Pengurusan ekonomi BN-Najib cukup lemah dan disalahgunakan untuk menguntungkan segelintir kecil di kelilingnya.

Harga terlalu tinggi dibayar oleh kerajaan dan perusahaan yang dikuasainya untuk projek yang tidak akan pulangkan modal, sedangkan harta kerajaan dijual dengan harga murah kepada kroni. Mereka menjadi kaya dengan menipu rakyat, yang akhirnya terpaksa menanggung beban ketamakan mereka.

Hutang kerajaan berlipat ganda di zaman Najib, dan hutang dijamin kerajaan meningkat dua kali ganda. Hutang ECRL, misalnya, tidak akan mula dibayar sehingga tujuh tahun kemudian. Dengan cara demikian, generasi akan datanglah yang akan menanggung hutang pokok, bunga terkumpul dan belanja operasinya nanti.

Rakyat pula kurang menyedari apa yang dilakukan kerajaan BN-Najib kerana tidak merasai beban hutang terkumpul, apa lagi kerana hutang perusahaan yang dikuasainya tidak perlu dilaporkan kepada parlimen, apatah lagi rakyat biasa.

Punca masalah ini ialah politik wang yang sudah lama berleluasa tetapi mencapai peringkat yang tidak pernah diduga pada zaman Najib. Jawatan politik direbut untuk menjadi kaya, sedangkan hanya orang kaya yang mampu merebut jawatan politik.

Perbelanjaan merebut jawatan dilihat sebagai pelaburan politik yang dianggap mendatangkan pulangan kewangan. Akibatnya, perhubungan serta jaringan menjadi lebih penting daripada kebolehan, kemahiran, kelayakan dan kemampuan.

Dengan ramai pekerja asing, mungkin di sekitar 7 juta orang, banyak majikan enggan melabur untuk meningkatkan daya pengeluaran, misalnya dengan mekanisasi. Pendapatan meningkat akibat usaha pekerja asing yang tidak dikira atau diakui, jarang sekali akibat kemajuan teknologi atau produktiviti.

Oleh kerana tiada kaedah yang dipersetujui untuk mengukur daya pengeluaran di sektor awam, pendapatan pekerjanya menjadi petunjuk produktiviti. Untuk mendapat sokongan politik pula, kerajaan Najib telah meningkatkan bayaran kepada mereka, yang kemudiannya menjadi petanda bahawa daya pengeluaran sektor awam telah meningkat.

Wacana tentang transformasi nasional menjadi omong kosong dengan cogan kata menarik yang berbunyi hebat daripada Barat, terutamanya Bank Dunia atau World Economic Forum.

Cogan kata import ini pula ditiru dan diterjemahkan tanpa pemahaman mendalam tentang maksud serta implikasinya.

Apakah petunjuk ekonomi semasa pemerintahan BN mengelirukan?

Selama sepuluh tahun dari 1988 sehingga 1997, ekonomi Malaysia telah tumbuh dengan kadar melebihi lapan peratus. Ia sama seperti pada tahun 1970-an, setelah dasar pembangunan dan perindustrian baru diperkenalkan.

Setelah 1998, kadar pertumbuhan purata sekitar lima peratus selama dua dasawarsa. Kalau dulu perindustrian telah mencapai pertumbuhan pesat, pada abad ini sektor perkilangan semakin mengecut, dari segi bahagian keluaran ekonomi nasional dan juga pekerjaan.

Dasar-dasarnya membawa apa yang dipanggil sebagai ‘perangkap pendapatan menengah’ (middle income trap).

Menurut Najib, Malaysia akan mencapai tahap ekonomi lebih tinggi dengan mengembangkan perkhidmatan untuk menggantikan perindustrian. Tetapi kebanyakan pekerjaan perkhidmatan baru merupakan perkhidmatan tradisional, sedangkan kebanyakan perkhidmatan moden dalam sektor awam.

Untuk menarik sokongan politik setelah prestasi lemah BN dalam PRU ke-12 pada 2008, dasar yang dibuat hanya cuba membeli sokongan tanpa mempedulikan kesannya terhadap ekonomi dalam jangka panjang. Misalnya bilangan pekerja awam telah berlipat ganda dalam satu dasawarsa.

Bayaran gaji dan lain-lain sering dinaikkan. Ini pula digambarkan sebagai kenaikan produktiviti perkhidmatan moden Malaysia, terutamanya di sektor awam. Beberapa pegawai tinggi, terutamanya di Kementerian Kewangan, diberi jawatan serta ganjaran tambahan yang lumayan.

Maka, kadar pengangguran di Malaysia memang rendah. Malah, bilangan pekerja asing di Malaysia lebih tinggi walaupun tidak diakui secara rasmi.

Bekas menteri sumber manusia pernah mengakui bahawa menurut anggaran syarikat telekomunikasi, terdapat 6.7 juta pekerja asing. Tetapi yang berada di sini secara sah dan diakui secara rasmi hanya sekitar 2.2 juta.

Dulu, buruh asing tertumpu di sektor pertanian, pembinaan, perkhidmatan tradisional, kerja 4D iaitu ‘teruk, kotor, merbahaya, dan berupah rendah’. Tetapi kini ekonomi Malaysia semakin bergantung kepada pekerja asing dalam sektor perkilangan, perkhidmatan moden, dan sebagainya.

Tenaga kerja Malaysia sekitar 15 juta dari 32 juta penduduk. Maka, pekerja rakyat Malaysia sekitar 13 juta, sedangkan pekerja asing sekitar 35 peratus. Oleh kerana hanya sebahagian kecil (2.2 juta) pekerja asing - atau kurang dari satu pertiga - yang diakui atau diiktiraf, semua angka ekonomi Malaysia telah diherotkan.

Angka purata keluaran, pendapatan dan daya pengeluaran seorang lebih tinggi daripada keadaan sebenar kerana 4.5 juta pekerja asing tidak diakui dan diambil kira. Akibatnya, sebahagian besar petunjuk ekonomi rasmi kita semacam berita palsu. Kita seolah-olah dalam ekonomi khayalan!

Apakah pemansuhan GST dan pelaksanaan semula SST satu langkah yang cekap lagi adil?

Kedua-duanya merupakan cukai terhadap penggunaan, yang merupakan cukai tidak langsung yang paling luas dipakai oleh kerajaan dewasa ini. Tetapi semua orang tahu bahawa cukai tidak langsung kurang adil dibanding dengan cukai langsung, seperti cukai pendapatan, cukai harta, dan sebagainya, terutamanya yang dikenakan secara progresif, bukan sama rata.

Orang berpendapatan rendah membayar lebih banyak cukai penggunaan secara relatifnya berbanding dengan orang kaya, yang hanya membelanjakan bahagian lebih kecil daripada pendapatan mereka.

Allahyarham Profesor Ismail Salleh pernah menunjukkan bahawa agihan pendapatan setelah semua cukai dibayar lebih tidak adil berbanding dengan sebelum cukai dikenakan pada tahun 1970-an.

Ketidakadilan kesan cukai ini telah bertambah teruk terutama sejak pertengahan tahun 1980-an ketika kadar cukai langsung terhadap orang kaya dikurangkan.

Tiada sesiapa yang boleh menafikan bahawa sistem GST telah memburukkan lagi ketidakadilan kesan cukai ini. Namun, antara cukai-cukai penggunaan, sistem cukai VAT (value added tax, atau cukai nilai tambahan) merupakan cara lebih cekap. Maka, kalaulah cukai penggunaan ingin dikekalkan, sistem VAT lebih berkesan dibanding dengan SST.

Sistem VAT boleh dipinda supaya menjadi lebih adil, misalnya dengan mengecualikan barang keperluan, terutamanya makanan rakyat, dan perusahaan kecil dan sederhana. Kadar cukai berlainan juga boleh dikenakan, contohnya, cukai lebih tinggi terhadap perkhidmatan yang dipakai orang kaya dan cukai lebih rendah terhadap perkhidmatan yang dipakai orang ramai.

Memandangkan sistem GST, sejenis VAT, telah diperkenalkan di Malaysia beberapa tahun lalu, dan kebanyakan perniagaan sederhana telah membeli sistem komputer untuk melaksanakan GST, Kerajaan HARAPAN patut menggantikan GST dengan sistem VAT lain untuk mengenakan cukai dengan sistem yang dibeli-pakai perusahaan perniagaan, yang dipinda supaya lebih adil dan kurang membebankan rakyat jelata.

Apakah projek kereta nasional kedua masih relevan sekarang?

Syor Mahathir itu sebenarnya mencerminkan kekecewaannya kerana Malaysia tidak lagi berusaha untuk menguasai teknologi industri canggih, seperti pembuatan kereta automatik yang memerlukan lebih kurang 4000 alat berlainan.

Dengan projek kereta nasional kedua, seperti projek Proton dulu, beliau mengharapkan Malaysia akan cepat maju. Dengan demikian, negara boleh menjadi moden dengan menguasai kemampuan, kemahiran dan kebolehan membuat banyak barang industri canggih dengan nilai tinggi.

Sebuah ekonomi tidak dapat maju hanya dengan mengimport barang dari luar negeri, sedangkan kemampuan pengeluaran serta eksportnya terhad.

Malangnya, banyak ekonomi kaya dengan sumber asli tidak berjaya mempelbagaikan kemampuan eksportnya kerana sudah kaya dengan pendapatan daripada eksport sumber aslinya; hal ini digelarkan ‘sumpahan sumber’ (resource curse).

Kekayaan itu menyebabkan nilai mata wangnya kuat atau mahal, dan harga barang import murah. Ia membantutkan usaha memajukan kemampuan lain, terutamanya penguasaan teknologi canggih.

Fenomena ini juga digelarkan ‘penyakit Belanda’ (Dutch disease) yang bermula di sana setelah gas petroleum asli ditemui selepas Perang Dunia Kedua.

Namun, dasar kerajaan Belanda berjaya menjadikan negara itu sebagai pengeksport pertanian yang kedua di dunia, selepas Amerika Syarikat, dengan menggunakan teknologi maju.

Keadaan masa kini jauh berbeza dengan keadaan empat dasawarsa lalu. Ketika menjadi menteri perdagangan dan perindustrian, Mahathir menubuhkan Heavy Industries Corporation of Malaysia (HICOM).

Kadar pemilikan kereta di Malaysia sekarang antara yang tertinggi di dunia, melampaui AS dan

Australia. Penangguhan usaha memajukan pengangkutan awam, yang dianggap sebagai cara meningkatkan permintaan kereta, telah membawa kadar tinggi ini.

Tetapi sekarang, pengeluaran kereta di Rayong, Negeri Thai, pula jauh melebihi pengeluaran di semua negara anggota ASEAN lain, termasuk Malaysia.

Langkah baru untuk melindungi sebuah lagi perusahaan kereta Malaysia sudah tentu akan ditentang di peringkat antarabangsa melalui WTO (World Trade Organization) dan juga jiran-jiran kita dalam ASEAN.

Pada peringkat antarabangsa juga, dunia telah banyak berubah. Orang ramai lebih mementingkan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik. Kesedaran tentang pemanasan global pula menyebabkan meningkatnya permintaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy) di mana permintaan kereta elektrik akan meningkat.

Dulu, hampir seluruh kereta Proton dapat dikeluarkan di Malaysia kecuali enjinnya. Kereta elektrik tidak menggunakan engin minyak petrol atau diesel lagi. Orang ramai telah lupa bahawa Mahathir pernah menggalakkan penyelidikan biodiesel minyak sawit mulai tahun 1980-an dan juga kereta elektrik mulai tahun 1990-an.

Walaupun perusahaan Proton masih bergantung kepada kerajaan, beberapa pembekal alatnya berjaya bersaing pada peringkat dunia. Misalnya, syarikat Ingress mengeluarkan dan membekalkan alat buatannya di Rayong, dan membuka kilang di tempat lain, termasuk India.

Cadangan Mahathir itu patut dianggap sebagai cabaran kepada rakyat Malaysia untuk memikirkan masa depan kemajuan ekonomi yang melibatkan teknologi industri. Mereka yang menganggapnya sebagai keluhan orang nyanyuk lagi degil tidak memahami hasratnya untuk terus memajukan Malaysia.

Wawasan 2020 gagasannya ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah masyarakat maju, bukan kaya semata-mata. Malangnya, perbincangan dan perbahasan pada masa ini telah melupakan cita-cita itu.

Mahathir telah kembali berkuasa pada usia 93 sekarang dengan hasrat membaiki penyelewengan yang pernah berlaku, termasuk penyalahgunaan kuasa dan penipuan amat besar berkaitan dengan 1MDB dan juga pada zaman pentadbirannya sendiri. Kita harus menyahut seruannya, termasuk cabaran bagi Malaysia zaman ini.

Apakah usaha kerajaan bagi merapatkan jurang agihan ekonomi boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan?

Saya bukan anggota kerajaan, maka saya tidak boleh dan juga tidak berhak mengulas dari perspektif kerajaan. Ketidakserataan ekonomi yang mungkin dapat diterima umum ialah ketidakserataan berasaskan sumbangan kerja masing-masing.

Tanpa perbezaan pendapatan sederhana, dikatakan tiada perangsang ekonomi untuk bekerja kuat dan memberi sumbangan mengikut keupayaan serta sumbangan masing-masing.

Sebaliknya, ketidakserataan yang diperturunkan, termasuk harta yang diwarisi, kurang mendapat sokongan orang ramai. Di samping itu, orang ramai peduli akan nasib golongan kurang bernasib baik, misalnya yang kelainan upaya. Orang ramai juga ingin memberi peluang serupa kepada semua orang, terutamanya bagi generasi muda.

Akibat pengaruh fahaman perkauman di Malaysia, ramai orang hanya melihat atau memberi perhatian kepada ketidakserataan antara kaum, walaupun faktor bukan-kaum jauh lebih penting dalam menentukan ketidakserataann di Malaysia.

Tetapi lama kelamaan, orang ramai makin menyedari bahawa usaha kononnya untuk membantu kaum tertentu, banyak direbut oleh beberapa kerat saja daripada lapisan atasan, terutama sekali yang berkait rapat dengan pimpinan BN dulu.

Isi dan lemak dinikmati mereka, sedangkan orang biasa hanya mendapat tulang dan bulu sahaja. Ini sudah lama dikritik, bukan oleh HARAPAN saja, tetapi juga oleh PAS dulu, malah ada juga kritikan tertentu dari dalam BN sendiri.

Kalaulah agihan pendapatan berasaskan sumbangan masing-masing menjadi kenyataan, maka, mereka yang kurang bernasib baik dapat dibantu.

Ramai orang percaya bahawa sistem fiskal -- yang banyak melibatkan Belanjawan negara -- bersifat progresif, iaitu mengurangkan ketidakserataan dalam ekonomi. Tetapi hakikat sebenar sebaliknya.

Seperti Ismail Salleh pernah tunjukkan, ketidakserataan meningkat setelah beban cukai diambil kira, dan kesan regresif ini telah bertambah teruk. Misalnya akibat pelaksanaan GST. Malah, ketidakserataan juga telah meningkat akibat pola kesan perbelanjaan kerajaan dulu, yang lebih banyak menguntungkan pelabur, terutamanya kroni pihak berkuasa.

Profesor Joseph Stiglitz pernah merumuskan serta mengemukakan bukti yang jelas bahawa ketidaksamaan menghindarkan pertumbuhan ekonomi, bukan sebaliknya, seperti yang sering diakui segelintir ahli ekonomi yang cuba mendukung ketidakadilan yang wujud serta usaha lain untuk memperkayakan golongan berada.

Dasar kerajaan HARAPAN menyebabkan kedudukan orang Melayu terancam dan merosot?

Memang tidak boleh dinafikan bahawa kepentingan segelintir kroni Najib serta beberapa pemimpin lain terancam oleh kerajaan HARAPAN. Sekarang mereka sedang menggerakkan penyokong untuk melindungi kepentingan mereka. Dasar yang membolehkan mereka mengaut kekayaan lumayan memang harus ditamatkan.

Ada juga dasar serta institusi yang membantu orang Melayu sedang dirombak semula untuk mengurangkan pembaziran, penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.

Parti komponen, terutama BERSATU - iaitu parti perdana menteri sendiri - AMANAH dan PKR mengharapkan sokongan orang Melayu dan tidak akan mengkhianati orang Melayu.

Tetapi sudah pasti pemimpin parti politik pembangkang, terutamanya Umno, akan membuat tuduhan demikian, dan menggambarkan apa yang sedang berlaku demi faedah politik, walaupun PAS pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengutuk fahaman assabiyyah, atau perkauman, yang dimarakkan oleh UMNO serta alat media yang dikuasainya.

Apa pula cara memastikan ekonomi Malaysia terus maju dengan pesat?

Soal sumber pertumbuhan, pembangunan dan kemajuan ekonomi merupakan persoalan pokok yang kurang dihiraukan di Malaysia sejak awal abad ini. Akibatnya, kemunduran perindustrian terlalu awal (premature deindustrialization) telah berlaku.

Tetapi ekonomi dunia telah banyak berubah. Kita harus mengambil kira industri serta kegiatan lain yang mempunyai masa depan cerah. Malaysia dikatakan perintis kewangan Islam dan makanan halal, tetapi kemajuan setakat ini kurang memuaskan akibat kelemahan dasar serta perlaksanaannya.

Dalam beberapa bidang, industri Malaysia merupakan yang termaju di dunia sejak tahun 1980-an dan 1990-an, termasuk penapisan minyak sawit dan pembuatan sarung getah. Sepatutnya, kita perlu maju ke hadapan di peringkat dunia dalam beberapa bidang lain juga, tetapi bukan hanya dengan mengharapkan pelabur asing.

Perindustrian di Malaysia sudah lama terlalu bergantung kepada pelaburan asing. Tetapi kejayaan penapisan minyak sawit dan pembuatan sarung getah hasil usaha pelabur serta jurutera Malaysia. Kebanyakan pelabur asing tidak akan mengizinkan rakan perniagaan Malaysia menguasai teknologi milik mereka.

Oleh itu, kita perlu mencari cara menguasai teknologi canggih secepat mungkin. Sebab itu, penting kerajaan memikirkan semula dasar pembangunan dan perindustrian, terutamanya untuk mengeksport barang buatan Malaysia, bukan hanya dengan menyertai rantaian nilai (value chain) yang dikuasai pelabur besar dari luar.

Justeru, penting untuk kita mengasah kemampuan wakil Malaysia untuk berunding secara lebih berkesan untuk mendapat perjanjian perdagangan, pelaburan, usahasama dan lain-lain akan mendukung hasrat kemajuan teknologi.

Misalnya, kontrak Proton dengan Geely hanya bertujuan untuk menjual kereta di pasaran ASEAN, terutamanya di Malaysia. Selain bateri kereta elektrik, Proton sepatutnya meminta pasaran kereta engin sederhana (misalnya, 1.2-1.6 liter) panduan sebelah kanan bagi seluruh dunia, terutamanya di negeri Komanwel, dan juga Jepun.

Apakah peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar akan berjalan lancar dan terus memajukan ekonomi Malaysia?

Mereka pernah bekerjasama rapat sebelum perselisihan pada hujung tahun 1997 yang membawa kepada syak wasangka dan perpecahan pada September 1998. Ramai pula yang pernah mengambil kesempatan dan memburukkan lagi perselisihan itu. Masing-masing telah membuat kesilapan yang sukar diakui itu.

Tetapi untuk memastikan peralihan baik untuk membina Malaysia baru, proses peralihan itu harus diurus dan ditangani dengan baik. Oleh itu Anwar perlu berunding dengan Mahathir untuk memastikan tiada perselisihan dalam proses peralihan, kerana sudah pasti ia akan menjejaskan pentadbiran baru Mahathir serta masa depan kerajaan HARAPAN sendiri.

Peralihan yang baik dan teratur sukar dicapai jika Anwar hanya menyertai kerajaan sebaik selepas Mahathir berhenti. Oleh itu, saya kurang faham mereka yang menegur Anwar kerana bertanding dalam PRK Port Dickson untuk menyertai Dewan Rakyat.

Apakah persaingan antara kuasa besar boleh menyebabkan Malaysia tersepit?

Sesuai dengan dasar Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang menjadikan rantau Asia Tenggara kawasan damai, bebas dan berkecuali, Malaysia harus mengambil pendekatan berkecuali juga dalam kemelut antara Amerika Syarikat, China, Eropah dan pihak lain seperti Jepun, India dan Rusia.

Apakah perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China akan memberi kesan besar kepada Malaysia?

Kita tidak patut terlibat dalam perang tarif ini, tetapi harus bersiap sedia kalaulah peluang baru timbul akibat perang itu. Misalnya, untuk menggantikan eksport China ke AS dengan eksport Malaysia.

Kerajaan Najib pernah membenarkan syarikat-syarikat asing, dari China dan Thailand, untuk mengaku eksport mereka berpunca dari Malaysia. Akhirnya, AS telah pun mengehadkan import udang serta madu yang kononnya dari Malaysia.

Penipuan demikian mungkin meningkatkan angka eksport Malaysia ke AS, tetapi tidak mendatangkan sebarang faedah kepada kita, kecuali bagi usahawan dan pegawai yang mengambil kesempatan untuk menjadi kaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS