PRK PD | Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti besar.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Anwar memperoleh 31,016 undi manakala pencabar terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar dari PAS meraih 7,456 undi.
Jumlah peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu adalah sebanyak 58.3 peratus, lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Bagaimanapun Anwar memperoleh majoriti 23,560 undi - lebih besar berbanding Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR yang memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 17,710 undi.
Analisa keputusan yang dijalankan oleh Malaysiakini, bagaimanapun mendapati keputusan mungkin berbeza jika BN bertanding.
Empat daerah mengundi yang dimenangi BN pada 9 Mei - Kampung Jimah Baru, Si Rusa, Linggi dan Kampong Sungai Raya - dimenangi oleh Anwar kali ini.
Bagaimanapun, corak pengundian menyaksikan hanya sedikit undi beralih kepada HARAPAN dan kebanyakan penyokong BN memboikot pilihan raya kecil itu.
Sementara itu, semua calon bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad, dijangka hilang wang deposit mereka.
Calon-calon bertanding perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu per sepuluh daripada jumlah undian, untuk mendapatkan bayaran balik deposit.
Isa meraih 4,224 undi, manakala bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat undi terendah, iaitu sebanyak 112 undi.
Tiga calon bebas lain iaitu ahli perniagaan Stevie Chan, mendapat 337 undi diikuti Lau Seck Yan, 243 undi dan Kan Chee Yuen, 180.
Ikuti perkembangan Malaysiakini berhubung keputusan pilihan raya kecil Port Dickson di sini.