Ini bukan laporan mengenai kisah peniaga jalanan di kota Jakarta atau Kuala Lumpur, tetapi di Kota Bharu, Kelantan.
Sinonim sebagai masyarakat yang rajin berniaga, kaedah perniagaan dengan cara menjaja di jalan-jalan utama sekitar bandar raya ini semakin dipraktikkan oleh peniaga tempatan negeri ini.
Berbekalkan produk berasaskan makanan dan minuman, tinjauan Malaysiakini mendapati kebanyakan peniaga terlibat adalah golongan belia dan beliawanis dengan mensasarkan pengguna jalan raya sebagai pelanggan mereka.
Bagi Mohamad Saiful Syahiran Nor, 24, dia memulakan perniagaan menjual etok (sejenis siput sungai) dengan menjaja di persimpangan jalan utama sejak Januari lalu.
Bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, idea untuk menjadi peniaga jalanan itu timbul selepas melihat pembeli terpaksa beratur panjang ketika mahu membeli makanan popular tradisi rakyat Kelantan itu di gerai tempatan yang popular.
"Saya dapat idea bila tengok keadaan pembeli terpaksa teratur lama apabila ke gerai etok salai tersohor.
"Mereka terpaksa menunggu giliran untuk membeli etok. Saya juga terfikir mungkin ramai lagi peminat makanan ini yang tak sempat ke gerai tersebut.
"Selepas bincang dengan emak, saya kira dengan cara ini juga dapat bantu orang ramai dan memudahkan mereka membeli etok dan menikmatinya dengan tenang," katanya kepada Malaysiakini.
Tambah Mohd Saiful Syahiran, pada awalnya dia memulakan perniagaan itu secara sambilan khususnya apabila musim cuti semesta.
"Bila cuti dan balik kampung saya akan berniaga, hinggalah tamat pengajian pada Julai lalu. Jadi sementara menunggu konvokesyen saya teruskan perniagaan ini.
"Selain itu, kaedah menjaja ini antara cabarannya adalah terpaksa berdepan cuaca panas dan keduanya cuaca hujan.
"Kalau cuaca panas kita kena tahanlah, sebaliknya kalau hari hujan menyebabkan proses penjualan tergendala dan waktu untuk menghabiskannya agak lambat," jelasnya.
Cabaran tersendiri
Bagi Rabiyatul Adawiah Abdullah, 30, pula dia dan beberapa rakan memulakan perniagaan jalanan dengan memperkenalkan produk 'Teh Beng Ngosek' iaitu minuman teh ais sejak September lalu.
Menurutnya, proses menjaja diberi tumpuan ketika waktu kemuncak dan berhampiran lampu isyarat jalan-jalan utama.
"Biasanya kita mula sekitar jam 12 tengah hari hingga jam 3 petang, kemudian pada waktu orang balik kerja sekitar jam 5 hingga 6 petang.
"Tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca juga. Setakat ini Alhamdulillah sambutan agak baik walaupun ada cabaran tersendiri," katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi Rabiyatul Adawiyah berkata, dia dan rakan-rakan terlebih dahulu mengutamakan keselamatan ketika menjaja produk minuman tersebut.
"Kita akan pastikan proses menjaja itu dibuat ketika lampu isyarat di persimpangan jalan berwarna merah. Apabila kenderaan berhenti, kami akan berjalan sambil membawa minuman ini.
"Selain itu ada juga di kalangan pelanggan yang mengambil kesempatan untuk bergurau, mereka panggil tapi bila kita bergerak ke kenderaan mereka sebenarnya tak mahu beli pun. Mungkin sebab kami perempuan, jadi kena bersabar sajalah.
"Macam itulah cara kami bekerja, bila lampu isyarat merah kami pun cari rezeki," katanya yang mampu menjual sekitar 200 hingga 400 cawan minuman itu sehari.
Sementara itu, bagi Mohamad Arsyad Azhar, 26, yang baru mengikuti langkah Rabiyatul Adawiyah sejak dua minggu lalu berpendapat perniagaan yang dijalankan mereka itu memberi kemudahan kepada orang ramai.
"Biasanya pelanggan akan cari peniaga, misalnya mereka terpaksa berhenti di tepi jalan untuk membeli minuman di gerai. Tetapi dengan adanya kaedah menjaja seperti ini, mereka hanya perlu buka tingkap kenderaan dan angkat tangan.
"Buat masa ini kami jalankan perniagaan ini di kawasan lampu isyaratnya yang ambil masa agak lama untuk bertukar warna. Jadi pelanggan dan kami tidak terlalu tergesa-gesa," jelasnya.
Mohd Arsyad berkata sebelum ini dia bekerja sebagai budak pejabat sebelum berhenti untuk menjadi peniaga jalanan.
"Sebelum saya kerja sebagai office boy, tapi disebabkan kos sara hidup semakin tinggi saya terpaksa cari altenatif ini untuk cari rezeki.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan agak baik dan saya harap orang ramai terus sokong usaha kami ini," katanya.
Malaysiakini mendapati trend menjaja di sekitar Kota Bharu ini semakin meriah, antara produk lain yang turut dihidangkan kepada orang ramai adalah burger, kopi, kerepek, bebola daging dan makanan ala barat.