Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan bincang dengan Grab untuk bawa penumpang ke stesen MRT

Kerajaan sedang berbincang dengan syarikat e-hailing tempatan, Grab untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk pengguna berulang-alik dari rumah ke stesen MRT, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua hari ini.

"Kini kita ada pengusaha-pengusaha pengangkutan awam baru yang menggunakan teknologi digital seperti Grab, yang boleh membantu kita membayar kos perbelanjaan pengangkutan awam.

"Kenapa perlu menyediakan bas ulang-alik jika boleh bekerjasama dengan Grab?

"Mereka (Grab) sebenarnya boleh menyediakan perkhidmatan dari stesen MRT ke rumah pengguna pengangkutan awam pada harga yang berpatutan, dan pada harga yang lebih murah daripada yang ditawarkan kerajaan dengan menyediakan bas ulang alik," katanya pada program Malaysia, A New Dawn di Kuala Lumpur.

Pua menjelaskan bahawa kerajaan berminat untuk mengadakan kerjasama seumpamanya dalam projek kerajaan, terutamanya yang melibatkan infrastruktur.

"Semua ini adalah ruang dan jalan untuk kerajaan menguruskan defisit pendapatan dan membayar hutang negara.

"Dan pada masa sama, akan menyelesaikan banyak masalah yang kita hadapi," katanya.

Ketika ditemui pemberita selepas program itu, anggota parlimen Damansara itu mengesahkan bahawa kerajaan "sedang berbincang" dengan Grab berhubung perkara itu.

Pua bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut berhubung perbincangan itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS