PRK PD | Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyatakan hasrat untuk berkongsi pentas dalam satu forum bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Abdul Hadi memberi gambaran itu ketika ditanya adakah Pakatan Harapan (HARAPAN) rasa tergugat dengan kedatangan presiden PAS itu ke Port Dickson sehingga memerlukan perdana menteri turun padang.
“Kalau forum dengan perdana menteri lagi bagus,” katanya dalam sidang media di markas induk PAS, di Teluk Kemang, Port Dickson, hari ini.
Dr Mahathir dijadualkan hadir ke Port Dickson malam esok dan akan bergandingan semula dengan calon HARAPAN bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas satu pentas selepas 20 tahun.
Sementara itu, mengulas lanjut soalan sama, Abdul Hadi berkata terpulang kepada perdana menteri itu untuk rasa tergugar atau tidak dengan kehadirannya.
“Itu terpulang kepada perdana menteri - rasa tergugat atau tidak dengan Hadi,” katanya ringkas.
Menyentuh tentang PRK Port Dickson, Abdul Hadi menasihatkan pengundi berdaftar parlimen itu agar tidak membuat "kesilapan".
Abdul Hadi berkata rakyat Port Dickson perlu mengambil iktibar daripada "kegagalan" rakyat AS dalam memilih pemimpin yang bermoral.
"Kita tahu mereka buat satu undi yang pilih presiden yang ada pada hari ini. Lepas itu berguguran pegawai letak jawatan.
"Rakyat dalam keadaan keluh kesah kerana membuat pilihan raya di mana rakyat tidak diberikan pemimpin yang bermoral.
"Ini yang berlaku (di AS). Ia patut jadi pengajaran kepada kita, rakyat Malaysia pun kena ambil iktibar dengan apa yang berlaku di Amerika," katanya.
Kelayakan Anwar
Sementara itu, dalam sidang media sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pihaknya tetap bertanding PRK Port Dickson meskipun masih berharap mahkamah akan menyegerakan pendengaran saman pemula difailkan seorang pengundi berdaftar di parlimen itu berhubung kelayakan calon Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Setakat ni kita teruskan PRK. Kalau mahkamah buat keputusan sebelum PRK amat baiklah.
"Kalau diteruskan juga, saya yakin mahkamah mesti buat keputusan. Kalau kita undi kedua terbanyak, kita mesti diisytiharkan pemenang (kalau Anwar diputuskan hilang kelayakan)," katanya.
Takiyuddin merujuk kepada fail pemula Noraziah pada 28 Sept lalu yang memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengenai kelayakan Anwar bertanding dalam PRK Port Dickson.
Dalam afidavitnya, Noraziah menyatakan pengampunan diraja terhadap Anwar tidak mengecualikan kehilangan kelayakannya untuk bertanding kerana Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong ditubuhkan tanpa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.