Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cuti peristiwa 22 Okt sempena pertabalan Sultan Kedah

Kedah mengisytiharkan 22 Oktober ini sebagai cuti peristiwa bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29, Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Bagaimanapun, cuti tersebut tidak tertakluk kepada calon Peperiksaan Semester Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan menduduki peperiksaan itu pada hari sama, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 Sultan Sallehuddin ini disifatkan sebagai peristiwa bersejarah memandangkan kali terakhir diadakan 59 tahun lalu iaitu ketika Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ditabalkan sebagai Sultan Kedah ke-28.

Sebanyak lima acara utama disusun bersempena istiadat itu bermula 20 September lalu dengan Istiadat Meletak Kerja di Balai Besar, Istiadat Ziarah Makam di Makam Diraja Langgar (5 Oktober), Istiadat Siram Tabal di Istana Anak Bukit (14 Oktober), Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Dataran Balai Besar (20 Oktober) dan kemuncaknya Istiadat Pertabalan di Istana Anak Bukit pada 22 Oktober ini

Pada sidang media sama, Mukhriz berkata Kedah akan mengadakan rundingan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew mengenai bekalan air mentah ke negeri itu.

Katanya beliau akan mengetuai delegasi Kedah ke Pulau Pinang minggu depan untuk tujuan tersebut.

“Kita akan mula bincang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew tentang pembekalan air mentah kepada Pulau Pinang.

“Harapan kita agar kita dapat kata sepakat dan yang akan menguntungkan kedua-dua negeri,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS