Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kampus Universiti Malaya di Nilam Puri 'terancam'

Jika disebut nama Nilam Puri, dalam kepala kebanyakan rakyat Kelantan akan terbayang kewujudan kampus Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Sesiapa sahaja melalui jalan hadapan gedung ilmu yang melahirkan ramai graduan pengajian Islam sejak 1981 itu, akan terasa suasana tersendiri.

Wanita-wanita muda berjubah, bertudung labuh atau berpurdah dan pemuda-pemuda berjalan menggalas beg atau buku di tangan masing-masing.

Mereka adalah pelajar di kampus Universiti Malaya di situ, atau juga pelajar di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang terletak saling bertentangan.

Terletak di tepi jalan utama Kuala Krai-Kota Bharu, kampus yang menempatkan sekitar 400 pelajar asasi pengajian Islam dari seluruh negara itu kini 'terancam'.

Ia susulan satu notis penamatan kontrak penyewaan bangunan yang dikeluarkan pemilik tanah dan bangunan.

Pemilik hartanah itu ialah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Notis bertarikh 3 Julai 2018 lalu itu menjadi penentu nasib dan kesinambungan kampus tersebut, sama ada akan kekal atau sebaliknya.

Menurut sumber dalaman Universiti Malaya, pihak pengurusan universiti masih mengambil pendekatan untuk berunding bagi mencari penyelesaian terbaik dalam usaha mengekalkan lokasi Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

"Sebolehnya kita mahu kampus di sini kekal, ia sudah sebati dengan rakyat Kelantan dan mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

"Setakat ini kita maklum bahawa rundingan dan perbincangan masih dilakukan dengan pihak-pihak yang berkenaan, " katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, selain pengajian peringkat asasi di kampus berkenaan, Universiti Malaya kini sedang diperkasa dengan penambahan program-program pengajian.

"Di sini sudah ditambah dengan pengajian diploma bidang profesional seperti bidang pengurusan sumber manusia dan perakauanan.

"Selain itu, sejak sekian lama kampus ini menerima kemasukan pelajar pilihan daripada Sabah dan Sarawak melalui kerjasama dengan kerajaan negeri masing-masing. Ini antara keistimewaan Universiti Malaya kampus Nilam Puri," ujarnya.

Sebagai rekod, notis penamatan perjanjian sewaan itu katakan ditandatangani oleh pengerusi lembaga pengarahnya yang juga seorang pemimpin kanan kerajaan negeri.

Antara lain notis tersebut menyatakan pemilik berhasrat menamatkan perjanjian sewaan bertarikh 4 Mac 2014 bagi menaik taraf kolej mereka sendiri.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Universiti Malaya Nilam Puri, Hazrul Salleh ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan notis tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut susulan perkara itu bukan bawah bidang kuasanya.

"Ya, saya maklum mengenai notis tersebut dan perkara itu mungkin sedang ditangani oleh pihak pengurusan universiti, " katanya ringkas.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi pemilik hartanah dan pemimpin kerajaan yang menandatangani surat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS