Keputusan mengenai pendirian kerajaan berhubung cadangan penghapusan tol seperti terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) akan diketahui dalam masa dua hingga tiga bulan lagi.
Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata pihaknya sedang berunding dengan syarikat konsesi berhubung isu tersebut.
“Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan matang yang memberi kelebihan kepada pemegang taruh dan kerajaan baru.
"Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pemegang taruh. Saya percaya itu akan dilaksanakan.
“Saya ada terima beberapa cadangan tapi bukan semua dari pihak berkepentingan, tapi saya pasti, akan ada keputusan dalam masa dua, tiga bulan daripada sekarang,” katanya.
Baru berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghargaan Man-Hours Without Lost Time Injury (LTI) untuk Projek-projek Lebuhraya Dalam Pembinaan di Jalan Susur Bandar Mahkota Cheras, Lebuhraya EKVE, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaru rundingan dengan syarikat konsesi lebuhraya.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan HARAPAN akan menamatkan bayaran tol di seluruh negara secara berperingkat, berdasarkan kontrak yang ditandatangani antara kerajaan dengan pemegang konsesinya.
Pemansuhan tol adalah antara sepuluh janji HARAPAN yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih kerajaan persekutuan.
Sementara itu Baru berkata, semua pihak berkepentingan memahami keadaan ekonomi sekarang dan beliau berharap satu keputusan dapat dicapai tidak lama lagi.
“Kerana itu mereka sangat memahami, kita harap akan ada kesepakatan dan satu kata putus yang terbaik dicapai,” katanya.