Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menegaskan bahawa beliau tidak akan menyerang peribadi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Calon bebas itu berkata sebaliknya corak kempennya lebih tertumpu kepada khidmat yang pernah diberikan beliau selama ini kepada masyarakat setempat.
"Kalau nak bangkitkan serangan peribadi (Anwar) calon Pakatan Harapan, saya boleh ceritakan sejak tahun 1998 lagi… semua dalam kocek saya, tapi ia tidak eloklah. Bagaimanapun, saya dan Anwar adalah kawan lama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program 'walkabout' di Kampung Arab dan Air Meleleh semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai serangan beberapa pemimpin HARAPAN terhadap dirinya dalam satu program ceramah di Kampung Pitchitan kelmarin.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Anwar, Mohd Isa, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat calon bebas termasuk bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
- Bernama