Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO anti-Akta Hasutan gesa bebaskan adik Lokman
Diterbitkan:  Oct 2, 2018 9:10 PM
Dikemaskini: 1:27 PM

Gerakan Hapus Akta Hasutan (GHAH) menggesa pihak berkuasa membebaskan adik anggota Majlis Tertinggi Umno yang hari ini direman empat hari di bawah seksyen 4 Akta Hasutan di ibu pejabat polis Shah Alam di Selangor.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, GHAH menzahirkan kekesalan atas penahanan adik kepada Datuk Lokman Noor Adam itu dan menyifatkannya sebagai bertentangan dengan semangat Malaysia Baru.

"Beliau ditahan hari ini kerana dikatakan menghina perdana menteri di media sosial miliknya.

"Penahanan ini adalah bertentangan dengan semangat Malaysia Baru yang dilaungkan oleh kerajaan Malaysia, dan seharusnya tidak berlaku.

"GHAH juga mengutuk tindakan pihak polis yang melakukan penahanan pada jam 3 pagi, yang sepatutnya boleh sahaja dilakukan pada siang hari sekiranya perlu.

"GHAH melihat ini sebagai satu bentuk intimidasi yang telah diwarisi dari kerajaan sebelum ini," katanya.

GHAH turut menyifatkan penahanan itu tidak ada beza dengan penahanan aktivis, Fahmi Reza, satu ketika dahulu, yang dikatakan menghina perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak melalui lukisan karikatur.

"Ahli politik Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sebelum ini melaungkan kepentingan kebebasan bersuara tidak sepatutnya menggunakan undang-undang jenayah dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan berekspresi.

"Sekiranya terdapat unsur fitnah dan penipuan, tindakan saman boleh diambil," katanya.

Selain itu, GHAH turut membidas kerajaan HARAPAN yang masih belum melaksanakan moratorium (penggantungan sementara) terhadap Akta Hasutan.

"Gesaan agar moratorium dilaksanakan dengan kadar segera telah dibuat sejak hari pertama pertukaran kerajaan oleh organisasi-organisasi masyarakat sivil.

"GHAH juga menggesa agar semua pertuduhan yang dibuat dibawah Akta Hasutan yang masih belum digugurkan, seperti kes Ustaz Wan Ji Wan Hussain, digugurkan segera.

"Tidak ada tempat buat undang-undang zalim dalam Malaysia baru. Mansuh Akta Hasutan segera," katanya.

Adik kepada pemimpin Umno itu ditahan polis sekitar jam 3 pagi tadi selepas mengambil beliau dari rumahnya di Bukit Subang, Shah Alam.

Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan adiknya, Lokman mempersoalkan keperluan untuk menyiasat dan menahan Azman di bawah Akta Hasutan.

Menghapuskan Akta Hasutan merupakan antara janji utama dalam manifesto pilihan raya HARAPAN.

Pemimpin HARAPAN sebelum ini sering mendakwa akta berkenaan disalahgunakan untuk kepentingan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS