Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
“Budaya cium tangan Umno berlaku dalam PKR sekarang’
Diterbitkan:  Oct 2, 2018 11:34 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa budaya cium tangan, membodek dan mendewa-dewakan pemimpin seperti yang dalam Umno, kini semakin menular dalam PKR.

Justeru, katanya budaya itu harus dibendung segera dengan ahli PKR seharusnya membudayakan idealisme perjuangan dan tidak taasub kepada pemimpin.

“Saya nampak budaya cium tangan seperti dalam Umno dah berlaku dalam PKR sekarang.

“Saya nak ingatkan supaya semua anggota parti setia kepada perjuangan dan jangan taksub kepada pemimpin kerana budaya ini tidak sihat,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Mohamed Azmin berkata demikian selepas menemui ahli PKR Terengganu dalam Pidato Malaysia Baru sempena siri jelajah menjelang pemilihan parti itu di Kuala Terengganu, malam semalam.

Laporan itu walau bagaimanapun tidak menyebut nama pemimpin mahupun anggota yang ditujukan itu.

Sebaliknya, menteri hal ehwal ekonomi itu dipetik sebagai berkata, budaya membodek dan mendewa-dewaka pemimpin tidak boleh dibiarkan wujud dalam parti.

“Apabila kita berpegang kepada idealisme perjuangan, biar apapun gangguan dan cabaran yang datang, kita tidak akan goyah dan lari daripada prinsip perjuangan manakala budaya membodek dan mendewa-dewaka pemimpin tidak boleh wujud dalam parti,” katanya.

Bukan rahsia

Walaupun semua pihak dalam kepimpinan PKR menafikannya, adalah bukan rahsia perseteruan di antara Mohamed Azmin dan pencabarnya dalam jawatan timbalan presiden iaitu Rafizi Ramli semakin sengit.

Setakat ini, Mohamed Azmin masih mendahului dalam pemilihan parti itu selepas undian di Pulau Pinang dan Johor.

Beliau menerima 3,326 undi berbanding Rafizi dengan 3,150 undi, sekali mendahului pesaingnya dengan kelebihan 176 undi

Beliau juga terus mendahului pencabarnya dalam pemilihan di Johor apabila memperoleh 4,503 undi manakala Rafizi mendapat 3,976 di negeri itu.

Lagi keluar Umno?

Sementara itu, Berita Harian Online turut memetik Mohamed Azmin sebagai berkata, beliau menjangkakan lebih ramai pemimpin Umno bakal mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman keluar daripada parti itu.

Beliau berkata, bayangan mengenai perkara itu dapat dilihat pada Perhimpunan Agung Umno 2018 yang berakhir Ahad lalu.

“Berdasarkan pemerhatian saya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat mengawal keadaan dan tidak dapat menyatupadukan Umno.

“Banyak teguran dan kritik yang tajam dapat dilihat dalam perbahasan dan ini membuktikan kepimpinan Presiden Umno hari ini amat lemah.

“Saya tidak meolak kemungkinan ada pemimpin Umno yang akan berhijrah untuk menyatakan bantahan terhadap Datuk Seri Zahid,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS