PAU 2018 | Bekas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak nampaknya tidak dapat menahan rasa sebak ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno tahun ini.
Berkongsi rasa sebaknya di Facebook malam ini, Najib berkata, beliau sabar dan menerima ujian yang diberikan padanya.
"Maafkan saya tak dapat nak tahan sebak dan air mata tadi. Saya sabar, saya redha. Ini semua ujian oleh Allah.
"Dan kini saya tahu saya tidak keseorangan, saya ada saudara-saudari semua di sisi saya memberi kekuatan dan sokongan. Moga Allah merahmati kita semua," katanya.
Dalam kiriman berasingan pula, Najib menegaskan tekadnya untuk terus bersama Umno.
"Selagi hayat dikandung badan, selagi masih bernafas dan roh dalam jasad, berjuanglah. Saya akan terus tetap bersama rakyat dan UMNO dulu, kini dan selamanya," katanya.
Najib mula kelihatan sebak sebaik selepas ucapan penggulungan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika semua perwakilan diminta berdiri untuk menyanyikan Teman Sejati - lagu yang dipopularkan kumpulan nasyid Brothers.
Ketika itu Najib yang kini hanya berjawatan ketua bahagian dalam parti mula mengeluarkan air mata ketika berdiri di barisan ketiga bersama para perwakilan lain.
Namun bekas perdana menteri masih mampu tersenyum di saat para perwakilan meminta untuk berswafoto bersama-samanya.
Tidak sedikit perwakilan yang berkata "teruskan perjuangan" kepadanya.
Zahid dalam ucapan penggulungan memberi penghormatan kepada Najib yang menurutnya berjiwa besar untuk hadir ke perhimpunan kali ini.
"Beliau sanggup duduk di barisan ketiga bersama-sama wakil bahagian Pekan. Inilah semangat bekas pemimpin yang berjiwa besar dan tetap bersama Umno," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Najib menerima sambutan hangat sepanjang perhimpunan. Semalam, ketika speaker Tan Sri Badruddin Amiruldin menyebut namanya, hadirin berdiri dan memberi tepukan penghormatan kepada beliau.
Baca berita lain: Di sebalik PAU, Najib kecil hati kerana dilupakan
Bagaimanapun, dalam kenyataan di Facebook semalam, Najib meluahkan rasa kecil hati kerana khidmatnya sebagai anggota dan bekas presiden Umno selama ini "dilupakan sekelip mata".
"Merujuk kepada PAU ke-72 yang sedang berlangsung kini, sebagai seorang bekas pimpinan negara dan seorang bekas perdana menteri serta khususnya mantan presiden Umno ke-6, adalah amat berbohong jika tidak ada secalit perasaan terluka dan terguris di hati kecil ini.
"Justeru, sesekali saya merenung, sepanjang lebih empat dekad saya terlibat di dalam politik tanah air sehingga menduduki jawatan perdana menteri selama hampir satu dekad, juga dalam konteks PAU ini, sebagai seorang bekas presiden Umno. Segala perjalanan dan pengalaman lebih 40 tahun berasa seperti baru hari kelmarin.
"Benarlah, seperti yang dipesan oleh Allahyarham ayahanda saya dahulu, tiada bakti lebih mulia daripada berkhidmat kepada rakyat dan balasan baik atas pengabdian kepada rakyat itu tidak selalunya terbalas di dunia ini.
"Yang penting setiapnya sudah saya perbuat sehabis baik cumanya kini bak diterlupakan sekelip mata," tulisnya.
Najib turut menyifatkan bahawa perasaan dan jiwanya berasa hancur luluh "bagai kaca terhempas di batu" dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.
"Seolah-olah segala jasa bakti yang telah saya hulurkan selama ini demi rakyat dan negara tercinta bagai mudahnya terpadam dan sirna bak ombak yang melanda menghilangkan tulisan-tulisan di pasir pantai," katanya.