Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Mat: Jangan mimpi lagi orang ajak kita bentuk k'jaan

PAU 2018 | Timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa anggota parti parti itu supaya tidak berharap pihak tertentu akan 'melamar' mereka untuk membentuk kerajaan.

"Jangan mimpi lagi akan ada orang bawa tepak sirih ajak kita buat kerajaan.

"Kalau dia bawa tepak sirih pun kita kena tengok dulu. Kalau dia nak kita jadi penumpang saja, janganlah. Kita tak nak jadi second fiddle," tegasnya dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno ke-72 hari ini.

Mohamad yang lebih mesra dengan gelaran Tok Mat itu menambah kekalahan BN pada 9 Mei lalu bukan bermakna gabungan itu tidak boleh bangkit semula.

Khamis lalu, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu berharap dapat kembali berkuasa dengan membentuk "kerajaan perpaduan" dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Yakin Umno mampu bangkit semula jika mereka kekal komited, Mohamad sekali lagi menekankan 'blueprint' Umno 2030 untuk mengukuhkan parti kepada Wanita, Pemuda dan juga Puteri.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan Zahid agar tidak menurunkan seluruh kuasa pentadbiran kepada peringkat bahagian, terutama dalam soal pemilihan calon.

Beliau berkata ia boleh menyebabkan masalah politik wang kian berleluasa.

"Ini perlu dilakukan secara rundingan, jika beri 100 peratus (kuasa) kepada bahagian, kita juga yang akan ada masalah," katanya lagi.

Zahid dalam ucapan penggulungannya kemudian menyatakan persetujuan dengan Mohamad dan berkata calon perlu dipilih berdasarkan peluang untuk menang dan disenangi ramai.

Beliau juga memberi jaminan akan sentiasa memantau bahagian selepas penurunan kuasa itu dilakukan.

Soal penurunan kuasa itu adalah satu dariapda 21 langkah mereformasikan Umno yang diumumkan Zahid dalam ucapan dasarnya semalam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS