PAU 2018 | Dalam teks ucapan panjang Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 malam ini, beliau mendedikasikan satu bahagian dari tujuh kesemuanya untuk menyentuh tentang kerjasama politik Umno di masa akan datang.
Pada 'Teras Kelima' bertajuk 'muafakat politik', Zahid menegaskan bahawa pintu Umno sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sebarang parti politik, "asalkan prinsip Umno tidak tergadai".
"Hari ini, Umno menjadi pembangkang. Inilah realitinya. Umno tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain.
"Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam BN.
"Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam gagasan pembangkang di atas semangat Ta'awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri," katanya.
Justeru, kata Zahid, bagi tujuan itu, BN akan "dijenamakan semula" sebaik rundingan dengan rakan komponen sedia ada diselesaikan.
Menghuraikan penjenamaan semula itu, Zahid menyenaraikan lima entiti yang akan menyertai gabungan itu.
Selain parti teras Umno, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS, Zahid berkata gabungan itu juga akan disertai oleh "parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme bersama".
Entiti ketiga, jelas Zahid adalah "parti politik mesra Umno yang selama ini banyak membantu dan menyokong".
Entiti keempat pula adalah "Badan Bukan Kerajaan (NGO)". Sementara entiti kelima adalah "Individu ahli langsung iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli BN tanpa melalui mana-mana parti politik.
"Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula BN," katanya.
Zahid berucap di hadapan perwakilan sayap Umno yang terdiri daripada Pemuda, Wanita, dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putera di Kuala Lumpur.
Kenyataan Zahid itu ketika beberapa pemimpin Umno dilihat tidak senang dengan cadangan untuk mengadakan bekerjasama dengan PAS.
Meskipun tiada ikatan rasmi ketika ini, Umno dan PAS dilihat rapat dengan PAS terutama melalui kerjasama dalam tiga pilihan raya kecil, masing-masing di Sungai Kandis, Balakong, dan Seri Setia.
Susulan itu, beberapa anggota parlimen Umno meninggalkan parti itu, termasuklah Anggota Parlimen Jeli Datuk Mustapa Mohamed yang menyifatkan bahawa beliau tidak bersetuju dengan hala tuju partinya.
Selain itu, rakan sekutu Umno dalam BN, MCA juga dilihat tidak bersetuju dengan cadangan kerjasama dengan PAS.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini memberi amaran Umno akan disingkirkan daripada BN sekiranya mengadakan sebarang pakatan dengan PAS.
PAU malam ini menyaksikan ketidakhadiran wakil MCA, sementara perwakilan PAS yang diketuai timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapat sambutan hangat perwakilan Umno.