Pemimpin kumpulan pemerhati antirasuah menyifatkan pelakon terkenal kelahiran Ipoh Michelle Yeoh sebagai “oportunis murah”.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yeoh bekerjasama dengan penerbit Ivanhoe Pictures untuk menghasilkan filem berdasarkan buku The Billion Dollar Whale yang memaparkan isu skandal 1MDB dan 'dalangnya' Jho Low.
“Oportunis murah seperti ini tiada tempat dalam Malaysia baru,” kata pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel hari ini.
“Mana ada integriti? Sebelum perubahan rejim, dia cenderung pada (bekas perdana menteri) Najib (Razak) dan rakan-rakannya...,” katanya.
Baca: Michelle Yeoh pengeluar bersama filem Billion Dollar Whale
Gabriel antara anggota jawatankuasa khas yang menyiasat skandal 1MDB. Jawatankuasa itu dibentuk selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.
Sebelum pilihan raya umum itu, Yeoh pernah dilaporkan menyokong Najib.
Pada 2013, beliau memuji Najib dalam perhimpunan anjuran Persekutuan Keturunan Cina Selangor.
Beliau dilaporkan menyifatkan Najib sebagai pemimpin yang banyak melakukan kebaikan kepada rakyat.
“Dari lubuk hati saya, saya harap beliau akan kekal sebagai perdana menteri dan saya harap kamu dapat berikan mandat kukuh padanya,” kata Yeoh.
Awal tahun ini, Yeoh juga memuji cara Najib menangani krisis pelarian Rohingya.
The Billion Dollar Whale ditulis oleh dua wartawan Wall Street Journal (WSJ), Tom Wright dan Bradley Hope.
