Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah melalui pembelian online sukar dikenalpasti
Diterbitkan:  Sep 28, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 6:59 AM


Pemberian rasuah melalui pembelian barangan dalam talian (online) merupakan antara kegiatan jenayah rasuah yang sukar dikenal pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata barangan online yang dibeli menyukarkan usaha untuk mengesan rasuah.

“Pemberi rasuah akan membeli pelbagai barangan di web seperti Lazada dan Shoppee. Jika dah dibeli, barangan itu akan terus dihantar ke penerima suapan sebagai ganjaran.

“Dengan cara yang begitu, ia susah untuk dibuktikan sebagai rasuah,” katanya kepada pemberita selepas temu bual di Bernama Radio di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Tambah Mohd Shukri, selain pembelian dalam talian, ganjaran dalam bentuk kad kredit juga diamalkan.

“Sebagai contoh, pemberi rasuah akan memberi kad kredit untuk penerima membeli-belah dan seumpamanya.

“Contohnya penerima rasuah diberi kad kredit dengan had kredit sehingga RM50,000. Jikalau dah habis hadnya, individu itu akan diberi kredit tambahan untuk dinikmati,” katanya.

Selain itu, Mohd Shukri menjelaskan penjenayah kini turut menggunakan akaun ‘proksi’ iaitu dengan menggunakan khidmat pemilik akaun bank yang kaya.

“Kita mengalami kesulitan apabila nak jejak salah laku jenayah rasuah dalam akaun terbabit kerana pemilik akaun memang orang kaya. Jadi orang kaya mempunyai banyak transaksi dalam akaun mereka,” jelasnya.

Apabila ditanya tentang keberkesanan undang-undang sedia ada di negara dalam membendung jenayah rasuah, Mohd Shukri memberitahu undang-undang di negara sudah memadai.

Tambahnya, apa yang penting, SPRM perlu lebih bersedia dalam menangani jenayah rasuah dan salah guna kuasa kerana penjenayah sentiasa berfikir lebih ‘advance’ bagi melepaskan diri daripada perbuatan mereka.

- Bernama
 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS