Seorang pemimpin lantang Umno Datuk Lokman Noor Adam berkempen supaya orang ramai memakai baju ala lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir bersetiakawan dengan pemimpin mereka yang didakwa.
Beliau hari ini memuat naik baju itu dengan tambahan logo “Laskar Jihad” dan tulisan “Saya lebih rela menyarung baju ini dari meninggalkan perjuangan” di muka depannya.
Di belakangnya pula terdapat tulisan “Biar jasad terpenjara, namun jiwa tetap merdeka.”
“Sebagai solidariti kepada pejuang-pejuang rakyat yang tidak lut dik ugutan penguasa nan zalim, Pemantau Malaysia Baru akan bersolidariti bersama mereka dengan sama-sama memakai baju oren lambang keberanian baru pejuang-pejuang yang setia kepada parti.
“Ayuh kita cetak dan pakai baju ini setiap kali hadir untuk bersolidariti. Semua pihak kami izinkan untuk mencetak fesyen terkini ini. Lawan tetap Lawan!” tulisnya di media sosial.
Setakat ini beberapa pemimpin Umno telah diheret ke mahkamah dengan berpakaian lokap SPRM, iaitu beka spengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan bekas pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Abdul Rahim.
Lokman melalui kumpulan dinamakan Pemantau Malaysia Baru sebelum menggerakkan orang ramai memberi sokongan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang berdepaan dakwaan rasuah, termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.