ADS
mk-logo
Berita
Ezam akui pertimbang cabar Anwar di PD
Diterbitkan:  Sep 27, 2018 1:50 PM
Dikemaskini: 6:04 AM

Orang kuat gerakan reformasi 1998 Datuk Mohd Ezam Mohd Nor menegaskan beliau belum membuat sebarang keputusan untuk mencabar bekas bosnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson.

Katanya, beliau baru balik dari luar negara dan akan bertemu dengan pihak yang membuat desakan supaya beliau bertanding di kerusi parlimen itu.

“Saya belum buat keputusan. Dan kemungkinan besar tidak (bertanding) kerana sudah lama tidak aktif politik.

“Saya baru balik dari Jakarta pagi ini.

“Petang dan malam ini baru jumpa mereka yang desak (saya bertanding),” kata bekas senator yang kini bergiat melalui NGO pemantau ketelusan negara HISBAH.

ADS

Ezam tidak mendedahkan pihak yang membuat desakan itu tetapi berkata mereka daripada “kalangan pejuang awal reformasi”.

Ditanya bila beliau akan membuat keputusan memandangkan penamaan calon lagi dua hari, beliau bergurau dengan menjawab:

“Dalam politik dua jam pun boleh.”

ADS

Ezam, bekas setiausaha politik Anwar, berkata pertimbangan beliau kali ini berdasarkan “prinsip” tetapi tidak mengulas lanjut.

Utusan Malaysia dalam rencana spekulasinya hari ini menyebut Ezam, 54, dikatakan akan membuat pengumuman malam ini.

Ezam pernah terlibat mengasaskan Parti Keadilan Nasional (yang kemudian bergabung menjadi PKR) tetapi meninggalkan parti itu selepas dikatakan berbeza pendapat dengan Datuk Azmin Ali.

Kedua-dua mereka ialah setiausaha Anwar ketika itu. 

Bagaimanapun April lalu, tidak lama sebelum pilihan raya umum, kedua-dua pihak "kembali bertaut".

Kerusi Port Dickson dikosongkan oleh wakil rakyatnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, Danyal Balagopal Abdullah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon BN Datuk VS Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Setakat ini, empat pihak lagi telah mengumumkan akan bertanding, iaitu PAS yang belum menamakan calonnya, Parti Rakyat Malaysia, Bekas Setiausaha Agung MIC Datuk S Kumar dan penggiat seni Stevie Chan Keng Leong.

BN memutuskan memboikot pilihan raya kecil itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS