Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) diminta bertegas terhadap mana-mana pihak yang menggunakan masjid atau surau sebagai tempat aktiviti politik kepartian.
Exco Perak Asmuni Awi berkata masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat untuk menyebar ilmu yang bermanfaat serta mengukuhkan persaudaraan, bukannya memecah-belahkan orang ramai.
Justeru kata exco agama, pendidikan Islam, luar bandar dan pembangunan usahawan itu semua program yang berunsur politik kepartian di dua tempat ibadat orang Islam itu perlu dihentikan.
“Kerajaan tidak boleh benarkan masjid digunakan untuk tujuan politik dan saya akan keluarkan arahan supaya Jaipk bertegas dalam perkara ini.
“Jaipk perlu mengeluarkan arahan kepada semua masjid dan surau supaya menghentikan penyalahgunaan premis mereka untuk agenda politik mana-mana parti walaupun menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya seperti dipetik Sinar Online hari ini.
Sesetengah pihak dikatakan menggunakan pentas ceramah, kuliah atau syarahan di masjid dan surau untuk menyebarkan fahaman politik tertentu dengan berselindung di sebalik program keagamaan.
Kata Asmuni kerajaan negeri tidak menghalang sebarang program kebajikan atau majlis ilmu diadakan di masjid atau surau asalkan memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagaimanapun kata anggota dewan undangan negeri Manjoi itu ada pihak menggunakan NGO tertentu bagi menyebarkan agenda parti politik.
“Kerajaan tak menghalang parti politik berkempen dan kita meraikan kebebasan bersuara tetapi jangan gunakan premis masjid, sila gunakan tempat lain,” katanya sleepa menghadiri program gotong-royong di Kampung Tengku Hussein, Manjoi, Ipoh.