Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tak tolak akan ada pertuduhan lain terhadap Najib, Rosmah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada pertuduhan baru terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki.

"Kita tidak menafikan akan ada pertuduhan lagi," katanya kepada pemberita di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini ketika ditanya wartawan.

Beliau turut berkata perkara yang sama ketika ditanya sama ada akan ada pertuduhan akan dikenakan terhadap isteri Najib, Rosmah Mansor.

Ditanya sama ada siasatan masih berterusan, Azam berkata:

"Kertas siasatan 1MDB memang ada lagi antara polis dan SPRM terutama sekali berhubung dengan asset tracing (pengesanan aset) yang melibatkan wang 1MDB di luar negara," katanya.

Najib didakwa dengan 25 pertuduhan hari ini - empat pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Ini berkaitan dengan dakwaan beliau menyalahgunakan kedudukannya sebagai menteri kewangan dan perdana menteri bagi menerima dana yang berasal daripada 1MDB.

Azam berkata SPRM dan polis telah menjalankan siasatan bersama sebelum ini, tetapi ini kali pertama kedua-dua agensi itu bersama mengemukakan pertuduhan terhadap Najib.

Beliau berkata SPRM menjalankan siasatan ke atas isu salahgunakuasa, manakala polis menyiasat Najib membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

"Jadi, siasatan mengenai ini bermula dari laporan (SPRM). Inilah yang kita sebut kesalahan predikat.

"Semenjak itu, (siasatan) pengubahan wang haram telah dibuka. Itulah sebabnya pendakwa menggabungkan dua kes ini dan ia akan dibicarakan bersama,"katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS