Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Timbalan presiden akui proses baik pulih Umno tidak rancak
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 7:22 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui proses membaik pulih parti itu selepas kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan penetapan haluan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Katanya, keadaan itu sehingga mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak.

“Sejak empat bulan yang lepas proses membaik pulih Umno pasca PRU-14 dan penetapan haluan yang jelas untuk parti berjalan dengan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti yang diharapkan oleh semua pihak.

“Saya ingin tegaskan bahawa perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan yang serius selepas ini demi memastikan Umno tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.

“Malah, saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti dikongsikan dengan semua dalam tempoh yang segera,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad mengulas keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak meninggalkan parti itu.

Menurutnya, kepimpinan Umno amat prihatin dengan perkembangan ini dan agenda pemulihan dan hala tuju parti akan dilakukan secepat mungkin.

“Saya amat berharap yang segenap ahli, pendukung dan kepimpinan Umno amat terus memberi sokongan penuh kepada parti, khususnya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Semoga usaha kita memulihkan Umno dan kewibawaannya akan berjalan lancar dan Umno kembali diyakini dan menjadi pilihan,” katanya.

Mustapa, yang memenangi undi tertinggi dalam pemilihan Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jun lalu, semalam membuat kejutan dengan mengumumkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berjuang dengan parti itu.

Alasan yang diberikan adalah hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.

Beliau juga mendakwa tidak banyak usaha untuk melakukan proses rejuvenasi parti itu.

Susulan pengumuman itu, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyalahkan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menghulurkan kerjasama dengan PAS.

Pada 15 Sept lalu, Ahmad Zahid mengetuai delegasi pemimpin Umno, kecuali Mohamad Hasan menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS