ULASAN l Pada tahun 1970, apabila kerajaan pada ketika itu mula mengajak orang Melayu untuk merubah pemikiran mereka dengan melakukan ‘revolusi mental’, orang-orang Melayu diberitahu untuk menjadi lebih berdisiplin, menjadi lebih aktif di dalam perniagaan dan ‘berminda bisnes’.
Kerajaan juga mengatakan, orang Melayu kurang sifat ingin tahu dan perlu menzahirkan sifat keterbukaan. Figura kapitalis dari Amerika dan yang berbangsa Cina juga diangkat sebagai contoh untuk diikut orang Melayu.
Selain daripada elemen-elemen tersebut, antara yang mahu diubah adalah sifat akur kepada nilai feudal yang masih kuat dalam kalangan bangsa. Acap kali, takrif-takrif tentang Melayu, maksud-maksud tersirat mahupun tersurat tentang Melayu, harus datang daripada seseorang autoriti atau yang lebih berkuasa, kemudian diperturunkan kepada rakyat, orang bawahan dan Melayu yang ‘biasa-biasa’.
Penting lagikah perihal orang Melayu dan kemelayuannya kini? Seakan sudah ada anggapan bahawa, jika seseorang itu bercakap tentang Melayu, untung rugi, survival dan kemandirian orang Melayu, yang demikian adalah satu tindakan yang rasis, tidak toleran dan mematikan harmoni ‘Bangsa Malaysia’.
Ada juga suara yang mengatakan, orang Melayu, setelah berdekad dimerdekakan daripada penjajah, dan setelah berbagai jenis inisiatif untuk memajukan bangsa, masih lagi malas dan tidak kompetetif. Kita tidak malu untuk ‘settle for less’, dan memandang ringan atas kualiti kerja.
Suara yang tidak putus, tanpa jemu menyalahkan orang Melayu ke atas ketidakcekapan mereka bersaing untuk hidup senang di dalam dunia pascamoden. Suara sedemikian adalah baik secara umumnya, supaya anak bangsa sedar akan kekurangan diri sendiri damn memperbaiki apa yang boleh.
Agenda pembangunan Melayu
Tetapi, sudah ramai yang menegur bangsa kita. Sudah ramai yang mempunyai persepsi bahawa, Melayu memang dilahirkan malas, tidak jujur, curi tulang dan tidak kompeten untuk maju di dalam zaman pascamoden.
Bukan untuk maju, malah untuk hidup pun, amat mustahil bagi Melayu tanpa bantuan berterusan. Menyedari hakikat ini, di manakah parti-parti politik Melayu?
Sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, sekitar tahun 1970, merentasi pentadbiran lima perdana menteri, apakah nasib orang Melayu? Apakah keadaan orang Melayu kini? Ya, kita berjaya menggulingkan seorang kleptokrat, tetapi agenda untuk memajukan bangsa juga harus digiatkan, dan yang lebih penting, agenda itu bukan untuk laba politik, tetapi untuk kelangsungan bangsa.
Kita perlu bangunkan bukan sahaja upaya ekonomi Melayu zaman kini, tetapi upaya intelek, akhlak dan kesedaran Melayu. Oleh yang demikian, agenda pembangunan bangsa harus dikaji semula, dan disesuaikan mengikut konteks semasa.
Masukkan perihal pendidikan, pemilikan hartanah untuk orang muda, sistem percukaian yang berat sebelah dan menguntungkan yang kaya serta nasib keluarga Melayu menengah rendah di kawasan pinggir bandar. Umno sekarang perlu memperjuangkan hidup orang Melayu yang ‘biasa-biasa’ ini.
Untuk kebaikan, bukan kuasa
Saya tidak percaya pada penyatuan PAS dan Umno. Saya percaya dengan kesepakatan gerakan-gerakan masyarakat Melayu, yang dipandui oleh Umno. Kenapa Umno? Kerana ia sudah lama memegang kunci kesedaran bangsa, samada diakui ataupun tidak oleh bangsanya sendiri yang sudah berpecah kini.
Perlu ada sinergi yang utuh, penyatuan untuk membangunkan orang kita yang lebih berilmu, progresif dan adil, seperti mana bapa-bapa kita dahulu, yang telah hidup dan menjayakan pembangunan tamadun Melayu.
Gerakan-gerakan masyarakat Melayu, saya percaya, tidak bersandarkan politik dan kuasa. Masih lagi wujud gerakan yang terbina dan digiatkan dengan niat untuk memperbaharui apa yang sudah dilihat rosak.
Namun mereka seakan dipinggirkan oleh Umno, mungkin kerana keangkuhannya sendiri dan ketiadaan ilmu. Tetapi sayang sekali, penyatuan PAS dan Umno pula yang dilihat seakan satu formula agung yang utuh, atau satu rumusan akhir yang mutlak, untuk kelangsungan orang Melayu.
Mungkin boleh dari sudut politik, tetapi untuk pengupayaan intelek, akhlak dan kesedaran bangsa, tidak sama sekali.
Fasa tidak menentu
Saya percaya kini, orang Melayu sedang berada di dalam fasa yang getir dalam sejarah kewujudannya. Orang kata, selepas pilihanraya ke-4, batang tubuh politik orang Melayu sudah tiada.
Dan dalam ketiadaan itu, kita mencari-cari pengganti daripada pelbagai sudut, bentuk dan isi, namun sehingga kini, tidak lagi kita jumpa. Sebenarnya, batang tubuh politik Melayu itu sudah berpecah, tergolong di dalam fikrah-fikrah yang berbeza dan pelbagai.
Sudah tiba masanya Umno menyantuni, mendahului dan memandui pecahan-pecahan ini, untuk kepentingan bangsa, bersama naratif yang lebih progresif dan adil untuk semua.
Dalam saya berbicara tentang Melayu, iaitu bangsa saya, tidak ada sekelumit pun niat untuk menjadikan orang Melayu sebagai sebuah kelompok masyarakat yang tidak toleran, tidak inklusif dan rasis. Tetapi saya berniat, jika bangsa saya maju, berilmu dan berakhlak, ia dapat memayungi semua rakyat Malaysia, di dalam apa sektor dan bidang sekalipun. Itu sahaja.
Umno dan parti-parti politik Melayu sekarang perlu berhenti berfikir tentang kuasa. Tiada guna kuasa jika bangsa disisih, diperbodohkan dan diperguna, kerana yang berikut adalah ketidakadilan yang paling ekstrem.
ABDULLAH AFIQ adalah seorang penyelidik di Bait Al Amanah.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.