Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kakitangan pun boleh tandatangan bagi pihak majikan'
Diterbitkan:  Sep 17, 2018 8:18 PM
Dikemaskini: 1:10 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan surat dan dokumen lain yang didakwanya sebagai "bukti" bahawa wang yang diterima dalam akaun bank peribadinya adalah derma daripada putera diraja Arab Saudi.

"Adalah penting untuk kita ambil perhatian bahawa kesemua surat-surat yang diterima oleh bank dan saya itu menggunakan kepala surat Putera Abdulaziz Al-Saud dan kesemua surat berkenaan menggunakan tandatangan yang sama.

"Pada ketika saya tidak boleh mengesahkan apa yang dikatakan penyiasat itu mengenai tandatangan itu, apa yang saya tahu dalam dunia perniagaan, ada juga berlaku kakitangan menandatangani surat bagi pihak majikan mereka," katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Beliau mengulas artikel The Edge Weekly hari ini yang memetik penyiasat yang tidak disebutkan namanya mengatakan surat itu tidak ditandatangani Putera "Saud Abdulaziz Al-Saud", tetapi seorang lelaki bernama Mohammad Abdullah Al-Koman yang mendakwa sebagai wakil Putera Abdulaziz Majid Al -Saud.

Sumber itu berkata kepada The Edge Weekly bahawa Mohammad tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai urus niaga berkenaan kerana ia melibatkan "kepentingan keluarga diraja Saudi".

"Dalam kata lain, Mohammad Abdullah memberitahu pasukan penyiasat Malaysia bahawa mereka perlu percaya bahawa surat itu datang dari keluarga diraja Arab Saudi.

"Sumber berkata bahawa selepas perjumpaan dengan Mohammad Abdullah, penyiasat menyimpulkan bahawa 'tidak selamat untuk mengesahkan wang berkenaan datang dari Blackstone dan Tanore adalah derma oleh Arab Saudi, kerana masih tidak jelas dan kekurangan dokumen yang menyokong kenyataan itu," tulis laporan itu.

Jabatan Keadilan AS (DOJ) sebelum ini mendakwa dana Blackstone dan Tanore berasal daripada 1MDB.

Sementara itu, Najib berkata artikel berkenaan tidak menyebut mengenai dokumen rasmi bank yang menunjukkan pemindahan dana yang dibuat melalui akaun bank Kementerian Kewangan Arab Saudi dan daripada bank akaun milik Putera Faisal bin Turkey bin Al-Saud di Arab Saudi.

Kata Najib, semua pemindahan dana juga tidak pernah dipertikaikan oleh bank penerima ataupun Bank Negara Malaysia (BNM).

Artikel itu juga katanya tidak menyatakan fakta bahawa beliau telah memulangkan RM2.6 bilion kepada Tanore beberapa bulan selepas menerimanya sebagaimana ditunjukkan oleh dokumen bank yang didedahkan minggu lalu.


Baca: Saman DOJ: Dakwaan rompakan berbilion ringgit 1MDB


Najib berkata pemulangan dana yang disebut sebanyak RM2.6 bilion itu turut diakui oleh Wall Street Journal melalui buku ‘The Billion Dollar Whale’.

"Ini membuktikan saya tidak mencuri atau menyimpan berbilion ringgit untuk kegunaan peribadi dan saya bukanlah penyangak, penyamun atau pencuri sebagaimana dituduh pelbagai pihak," kata Najib.

Untuk rekod, Malaysiakini sebelum ini pernah menimbulkan persoalan mengenai identiti "Putera Faisal", kerana tidak ada seorang pun memiliki nama yang sama seperti dokumen itu yang dikenal pasti sebagai ahli keluarga diraja Saudi.

DOJ mendakwa daripada AS$ 681 yang dipindahkan dari Tanore ke akaun Najib (dirujuk sebagai 'Malaysian Official 1' dalam dokumen mahkamah DOJ) pada Mac 2013, kira-kira AS$ 620 telah dikembalikan kepada Tanore pada 26 Ogos tahun itu.

Ia berkata sekutu Low Taek Jho, Eric Tan kemudian menyerahkan wang tersebut melalui perantara dan menggunakan kira-kira AS$ 27.3 juta untuk membeli kalung loket berlian 22 karat untuk isteri Najib, Rosmah Mansor, serta pelbagai karya seni.

Najib dan Jho Low masing-masing menafikan melakukan sebarang salah laku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS