Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata Umno atau BN mesti meletakkan calon pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson nanti.
Kata Khairy kerusi parlimen di Negeri Sembilan itu memang sukar untuk dimenangi namun cabaran perlu diberikan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Alasannya, supaya Anwar tidak "ditabalkan" untuk menjadi perdana menteri kelapan Malaysia.
"Pertabalan adalah untuk raja-raja. Dan Anwar bukan (raja)," ciapnya di Twitter hari ini.
Khairy berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang berpendapat pembangkang tidak perlu meletakkan calon di PRK Port Dickson sebaliknya membiarkan Anwar menang.
Aminuddin yang juga Ketua jentera pilihan raya Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi PRK itu berkata pembangkang hanya perlu memberi laluan kepada presiden PKR itu yang mengatur langkah untuk kembali ke parlimen sebelum dilantik menjadi perdana menteri.
Jumaat lalu Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu belum ada kata putus sama ada untuk meletakkan calonnya pada PRK Parlimen Port Dickson atau tidak.
Menurut Annuar hal itu akan dibincangkan pada mesyuarat Umno 24 September ini.
Itu khianat parti
Minggu lalu pula seorang bekas menteri kanan Umno Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau akan berkempen untuk memenangkan Anwar walaupun Umno akan meletakkan calonnya di situ.
PAS turut tidak ketinggalan memperkatakan PRK Port Dickson. Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu sedia meletakkan calonnya pada PRK berkenaan jika Umno atau BN tidak berbuat demikian.
Kata Khairy Umno dan BN perlu menolak amalan politik yang dianggapnya tidak boleh diterima itu.
“Umno-BN mesti bertanding. Port Dickson bukan kerusi yang boleh dimenangi (dengan mudah) tetapi kita mesti melawan politik yang tidak tahu malu ini," ciapnya.
Khairy turut mengulas pendirian Nazri untuk berkempen bagi pihak Anwar.
Kata bekas menteri belia dan sukan itu, peraturan Umno adalah jelas dan sesiapa yang berkempen untuk parti lawan boleh disingkirkan.
"Itu bukan lagi meraikan perbezaan pendapat. Itu mengkhianati parti," katanya.