Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Synergy Promenade perjelas isu pemindahan pemilikan tanah Felda
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 4:55 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Selepas terpalit dengan kontroversi pemilikan tanah Felda hujung tahun lepas, syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd hari ini tampil menjelaskan isu pemindahan pemilikan tanah berkenaan.

Jurucakap Synergy Promenade berkata Kuala Lumpur Vertical City yang bakal dibina di atas tanah milik Felda di Jalan Semarak itu pada asalnya bagi merealisasikan hasrat Felda yang mahu membina tiga menara, setiap satunya mempunyai ketinggian 68, 75 dan 70 tingkat yang beranggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sehingga RM2.5 bilion.

Katanya, bagi keperluan pembiayaan untuk menyempurnakan projek pembangunan itu, syarikat memindahkan sebahagian hak milik tanah bagi membolehkan syarikat mendapat kewangan yang mana caj ke atas tanah tersebut akan dijamin pihak pertama sebagai jaminan.

Menurutnya, berhubung pemindahan hak milik tanah berkenaan, timbul beberapa tuduhan seperti salah guna kuasa, rasuah, dan salah laku.

"Untuk pengetahuan, proses pemindahan hak milik berkenaan dilakukan selaras dengan perjanjian yang dicapai antara pihak kami, Felda dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC)," kata jurucakap itu.

"Kami juga telah mematuhi syarat dan prosedur yang sepatutnya iaitu menerusi Pejabat Tanah dan Galian," katanya.

Katanya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sendiri sebelum ini menyatakan tidak ada unsur rasuah atau salah guna kuasa berhubung pemindahan hak milik tanah berkenaan.

"Tambah Datuk Seri Azam Baki lagi, siasatan SPRM menunjukkan ia hanyalah kelemahan dalam urus tadbir, dan perkara ini tertakluk kepada siasatan pihak polis. Berhubung perkara berkenaan, polis juga telah menutup siasatan dan merumuskan tiada tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Jadi, katanya, jika benar Synergy Promenade mempunyai niat untuk memindahkan hak milik tanah berkenaan demi kepentingan sendiri seperti yang dituduh pihak Felda dan bukannya untuk pembangunan tersebut, sepatutnya Synergy Promenade boleh menjual tanah berkenaan terus kepada pihak ketiga.

"Dan bukannya memindahkan hak milik tanah berkenaan ke atas nama kami sendiri sekali gus menyebabkan kami terpaksa menanggung kos-kos berkaitan atas pemindahan berkenaan seperti nilai duti setem yang tinggi," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 24 plot tanah yang tertera dalam perjanjian berkenaan, Synergy Promenade hanya memindahkan 16 hak milik tanah yang perlu bagi tujuan pembangunan ketiga-tiga menara seperti yang dikehendaki oleh Felda.

Katanya, syarikat telah memaklumkan pihak Felda dalam tempoh masa yang berpatutan berhubung proses pemindah hak milik itu, namun tiada maklum balas diperoleh daripada Felda dan hanya selepas beberapa bulan proses penukaran berlaku, barulah Synergy Promenade dipanggil untuk menghadiri mesyuarat.

"Ketika mesyuarat berkenaan berlangsung, kami telah menjelaskan kepada mereka faktor kami melakukan pemindahan hak milik tanah berkenaan.

"Tetapi pihak Felda enggan menerima penjelasan kami, sebaliknya mereka bertegas agar tanah berkenaan dikembalikan kepada mereka, dan Felda memilih untuk menyiarkan permintaan berkenaan melalui media awam," katanya.

Ditanya berkaitan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Felda yang diadakan selepas kontroversi tersebut, jurucakap itu berkata ia bagi membolehkan projek pembangunan itu terus berjalan dan mengelakkan perselisihan faham berterusan.

Katanya, Felda bersetuju untuk terima tanah dan berjanji membantu menyelesaikan kemelut yang menguntungkan semua pihak terlibat dalam isu ini.

"Selepas proses penyerahan tanah (MoU) berlaku, hanya sekali sahaja pertemuan dan perbincangan diadakan sehingga kini. Ketika pertemuan awal itu, Felda memberi jaminan akan memastikan kami mendapat cadangan mereka berhubung perkara ini.

"Malangnya sehingga hari ini, kami tidak mendapat sebarang kertas cadangan walaupun mereka telah diberi notis peringatan beberapa kali.

"Memandangkan tempoh enam bulan untuk rundingan seperti mana yang dinyatakan dalam MoU berkenaan telah berlalu, maka perjanjian itu dengan sendirinya telah terbatal," katanya.

Mengulas lanjut, jurucakap itu berkata Synergy Promenade telah beberapa kali menulis surat kepada Felda bagi memohon maklum balas tentang langkah penyelesaian berhubung pembangunan berkenaan.

Katanya, satu daripada terma MoU menyatakan pemindahan semula hak milik tanah berkenaan mesti dilakukan selaras dengan prosedur dan undang-undang.

Dua daripada tanah berkenaan tertakluk kepada sekatan yang mana persetujuan pihak berkuasa daripada kerajaan negeri diperlukan untuk proses pemindahan hak milik tanah yang dinyatakan.

“Mengikut prosedur yang sepatutnya, kami perlu menghantar permohonan kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) bagi membolehkan persetujuan pihak berkuasa dan Surat Kebenaran Pindahmilik dapat dikeluarkan.

“Namun sebelum kami menandatangani dan menghantar permohonan berkenaan, kami terkejut apabila mendapati kedua-dua tanah yang dinyatakan sudahpun dipindahkan hak miliknya dan telah didaftar di bawah nama Felda.

"Ekoran itu, kami telah menulis surat memohon penjelasan daripada pihak PTGWP beberapa kali berhubung perkara ini," katanya sambil menambah sehingga ke hari ini tiada sebarang maklum balas diperoleh.

“Kami berpandangan terdapat kemungkinan penyalahgunaan kuasa berlaku, dan pemindahan hak milik kedua-dua tanah itu tidak mengikuti lunas undang-undang yang sepatutnya.

“Oleh itu kami akan membuat laporan kepada pihak SPRM berhubung isu ini,” katanya.

Dalam masa sama, Synergy Promenade berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pengerusi baharu Felda, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor kerana sehingga ke hari ini "kami tidak mendapat sebarang maklum balas konstruktif daripada pihak Felda".

"Penyelesaian yang wajar patut dilakukan demi kepentingan semua pihak - Synergy Promenade, Felda dan FIC. Tetapi, sekiranya perkara ini juga tidak menjadi kenyataan, kami tiada pilihan lain dan tidak akan teragak-agak untuk mencari apa jua tindakan perundangan yang berpatutan ke atas Felda dan/atau FIC bagi membolehkan kami mendapat ganti rugi sewajarnya," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS