Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno yakin PAS jujur dalam kerjasama - Zahid
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 4:39 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya, jalinan kerjasama antara Umno dan PAS adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam dan senario politik baharu yang memerlukan kedua-dua parti untuk bersama.

Presiden Umno itu berkata jalinan kerjasama ketika ini tidak ke arah kepada tahaluf siyasi tetapi lebih kepada memberi kekuatan sebagai gagasan kem parti pembangkang pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kalau diteliti, kita harus membaca apa yang tersirat. Bukan hanya yang tersurat sahaja. Saya fikir kepimpinan PAS ikhlas walaupun tidak disebutkan secara spesifik.

"Tetapi orang politik faham apa yang disebut dan cuba disampaikan mengenai jalinan kerjasama tersebut," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 yang dirasmikan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri hari ini.

Ahmad Zahid ditanya mengenai ucaptama Abdul Hadi sewaktu perasmian itu yang tidak menyebut secara langsung bentuk kerjasama antara kedua-dua parti yang memperjuangkan agama Islam dan kaum Melayu itu.

Abdul Hadi dalam ucapannya antara lain berkata PAS bersedia menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.

Jelas Ahmad Zahid, jalinan kerjasama itu juga antara lain atas dasar kebersamaan dalam memperjuangkan isu berkaitan Islam dan Melayu yang diambil peduli kedua-dua parti.

Mengulas mengenai kehadirannya dan barisan kepimpinan Umno yang lain pada muktamar itu, Ahmad Zahid berkata ini satu lagi lakaran sejarah yang perlu dihargai atas dasar politik baharu yang memerlukan kedua-dua parti untuk bersama dalam perjuangan.

"Terima kasih kepada PAS. Ini kali pertama dan sejarah baharu landskap politik negara. Umno dan PAS dahulu ada masalah dan pernah bersama di dalam kerajaan sebagai satu pasukan pada 1974 di dalam pentadbiran kerajaan.

"Kini PAS dalam Gagasan Sejahera. Adalah penting yang bukan sahaja Umno tetapi juga rakan dalam Barisan Nasional untuk ubah persepsi dan ambil tindakan sebagai pembangkang," katanya.

Mengulas mengenai kewujududan pembentukan satu gabungan pembangkang untuk menghadapi PRU15, beliau berkata perkara tersebut perlu diperhalusi di pelbagai peringkat dan kini cuma ada jawatankuasa di peringkat parlimen sahaja antara kedua-dua parti.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS