ADS
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP pertahan Langkah Port Dickson Anwar

Ketika sesetengah pihak menyatakan bantahan, mengecam atau tidak puas hati dengan 'Langkah Port Dickson' yang dirancang sesetengah pemimpin PKR, seorang timbalan menteri pula berpendapat sebaliknya.

Menurut Liew Chin Tong Langkah Port Dickson itu memang diperlukan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan wujud kestabilan dalam kerajaan.

Kata timbalan menteri pertahanan tersebut HARAPAN sudah bersetuju sebelum ini untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru kata Liew Langkah Port Dickson itu mengelakkan ketidaktentuan dalam gabungan berkenaan.

Liew juga menegaskan salah satu faktor yang menyumbang kepada kemenangan HARAPAN pada PRU ke-14 lalu ialah persetujuan Dr Mahathir dan Anwar bekerjasama untuk membentuk pembangkang yang bersatu.

ADS

Justeru katanya Dr Mahathir dan Anwar mesti terus bekerjasama kerana kedua-duanya sudah berada di pihak kerajaan.

"Saya sokong keputusan Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK). Harap-harap lebih ramai orang akan memberikan sokongan kepada Anwar dan pembabitan beliau akan membawa kestabilan untuk politik secara keseluruhan.

"Apabila proses peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar sudah jelas, ia akan membawa kestabilan kepada kerajaan," katanya semasa ditemu bual Malaysiakini semalam.

Boleh tumpu tugas reformasi

PRK Port Dickson diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lalu bagi membuka laluan kepada Anwar menjadi anggota Dewan Rakyat.

Bagaimanapun tidak semua orang mengalu-alukan langkah tersebut.

Selain dianggap dijadikan strategi politik kumpulan Rafizi Ramli yang mencabar Datuk Seri Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden PKR, Langkah Port Dickson itu juga dirasakan tidak wajar, membazir serta melanggar amanah yang diberikan pengundi kepada Danyal sebelum ini.

Kata Liew pihak yang tidak senang dengan PRK berkenaan perlu memahami Anwar tidak dapat menyertai PRU ke-14 pada 9 Mei lalu kerana masih dipenjara ketika itu.

Kini selepas mendapat pengampunan penuh katanya Anwar mesti dibenarkan mendapat haknya berada di parlimen sekali lagi.

"Kalau Anwar kembali ke parlimen, kerjasama antara beliau dengan Dr Mahathir akan termeterai dan ia memberi sumbangan penting kepada kestabilan negara," katanya.

Liew yang juga pengarah pendidikan politik DAP menambah kemungkinan berlaku kelompongan kuasa tanpa Anwar mempunyai tempat di parlimen tidak baik untuk negara.

Pada masa sama katanya menyelesaikan butiran peralihan kuasa lebih baik diselesaikan segera.

"Keadaan itu sudah pasti akan membantu kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mereformasikan institusi, memulihkan ekonomi serta membina negara," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS