Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shafee benar-benar mahu jadi peguam negara, kata Dr M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah melobi Datuk Seri Najib Razak agar melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya dalam kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Shafee benar-benar mahu jadi peguam negara (AG). Dia datang jumpa saya. Dia kata AG pada masa itu tidak boleh mendakwa (dengan betul)...Mereka akan kalah kes itu. Dia (Shafee) kata dia boleh menang.

"Saya kata 'jika anda boleh menang, pergi beritahu Najib (perdana menteri ketika itu)'. Pada masa itu, saya masih baik dengan Najib," kata Mahathir dalam sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya, hari ini.

Minggu lalu, Shafee mendakwa pernah bertemu Mahathir pada pertengahan 2013 dan berbincang tentang perbicaraan kes Liwat II.

Menurutnya, Mahathir ketika itu tidak yakin dengan kemampuan Pejabat Peguam Negara untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada tuduhan liwat.

Beliau mendakwa Mahathir "bertegas" agar dirinya dilantik sebagai pendakwa raya khas, dan Najib akhirnya bersetuju.

Shafee berjaya dalam perbicaraan di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, dan Anwar dipenjara pada Februari 2015.

Anwar kini mencabar kesahan perbicaraan Liwat II atas asas Najib telah membayar sejumlah RM9.5 juta terhadap Shafee untuk peranan itu.

Anwar berkata, memandangkan beliau dan Najib adalah seteru politik, bayaran itu telah menjejaskan perbicaraan.

Semalam, Shafee didakwa di mahkamah berkenaan bayaran itu, yang menurut pendakwa berasal daripada wang haram.

Shafee mengaku tidak bersalah dan menyifatkan dakwaan itu bermotif politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS