Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Siasatan 1MDB tak diselaraskan, mungkin berlarutan lebih setahun'

Anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Jomo Kwame Sundaram hari ini mendedahkan bahawa pelbagai pihak berkuasa termasuk dari negara asing telah membuka siasatan berhubung skandal 1MDB tetapi sehingga hari ini masih menemui jalan buntu.

"Kalau kita lihat siasatan yang sudah berlaku ada lapan kes daripada SPRM, Bank Negara, DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat), kerajaan negara luar, Sarawak Report bongkarkan, pendedahan Tony Pua (Ahli Parlimen Damansara) dan Rafizi (Ramli, naib presiden PKR).

"Banyak yang telah berlaku, malah Peguam Negara dan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) pun buat siasatan.

“Tetapi siasatan ini tidak diselaraskan dan bila ada percanggahan tentang apa yang telah berlaku belum dapat dijelaskan lagi," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan buku 'Till Debt Do Us Part' hasil karya Prof Dr Mohd Nazari Ismail di Universiti Malaya (UM) hari ini.

Menghurai lanjut, bekas pensyarah ekonomi itu berkata, pihak penyiasat 1MDB perlu mengambil kira mengenai keberadaan Jho Low kerana beliau menjangkakan lebih banyak bukti sepanjang siasatan itu.

"Bagaimana kita nak selesaikan sebab banyak perkara sebenarnya. Kes 1MDB ini bukan sesuatu yang mudah dibongkar.

"Katakan ada perjanjian yang dibuat dengan Jho Low, dan dia buka rahsia yang baru selama ini kita tidak tahu.

"Mungkin ada rahsia baru yang belum kita fikirkan lagi. Jadi saya harap apa yang polis janjikan itu dapat diselesaikan tapi memandangkan apa yang kita tidak tahu lagi banyak, saya kurang yakin.

"Tetapi saya harap mereka berjaya selesaikan kes ini," katanya.

Jomo berkata, beliau menjangkakan siasatan itu akan berlarutan lebih daripada setahun.

"Bukan mudah untuk polis untuk menyiasat apa yang berlaku di tempat lain, jadi kerana itu saya kurang yakin dapat diselesaikan dalam masa setahun.

"Saya harap polis akan siasat dengan teliti dan akan dapat bongkar segala maklumat tetapi skandal ini begitu luas implikasi dan melibatkan begitu ramai pihak.

"Saya kurang yakin siasatan ini dapat diselesaikan dalam masa yang singkat," katanya.

Jomo berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim semalam yang mendedahkan sebanyak RM2.973 bilion wang daripada 1MDB dikesan dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga memaklumkan polis diberi tempoh setahun untuk menyiapkan siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS