Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa Port Dickson? Ini jawapan Anwar
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 7:04 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Selepas menimbangkan sejumlah kerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memilih untuk bertanding di Port Dickson selepas melihat betapa seriusnya anggota parlimen di situ, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, menawarkan kerusinya.

Kata Anwar lagi, beliau tambah tertarik selepas Danyal menyatakan hasrat untuk kekal membantunya di kawasan parlimen itu.

"Bukan beliau saja (yang tawarkan). Biasa dalam politik ada yang enggan, ada yang umum tapi tak berani lepaskan, ada yang serius, dan dia serius...Saya hanya pertimbang (tawaran) yang serius.

"Saya juga terkesan dengan personaliti Danyal. Beliau tak berbicara soal undur (sebagai MP), tapi bicara soal mahu bersama (sebagai) satu pasukan mantap...Beliau mahu terus aktif bersama saya di Port Dickson," kata bakal presiden PKR itu dalam wawancara menerusi Skype bersama Astro Awani.

Danyal hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil untuk Anwar.

Ia menjawab teka-teki kerusi yang bakal ditandinginya untuk kembali ke Parlimen.

Mengulas lanjut, Anwar berkata telah bertemu dengan Danyal (kanan) untuk bertanya sendiri sebab mahu melepaskan jawatan itu.

"Beliau kata mahu kekal membantu di Port Dickson. Maknanya secara teknikal (Danyal) bukan undur...Dia juga kata ini satu penghormatan kepada Port Dickson dan Negeri Sembilan.

"Beliau beri hujah yang baik. Jika diteliti kenyataannya, saya amat terkesan," katanya lagi sambil berkata sudah lama mengenali bekas pegawai kanan TLDM itu yang sebelum ini aktif dalam PKR Perak.

Jika dipilih, kata Anwar, beliau akan memberi perhatian kepada aspek pembangunan, pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar.

Pengumuman hari ini tidak tanpa kontroversi apabila penyandang ketua wanita PKR Zuraida Kamaruddin mendakwa ia diputuskan tanpa mengikut saluran parti yang betul.

Naib presiden Tian Chua juga membidas calon timbalan presiden Rafizi Ramli - yang turut sama dalam sidang media pengumuman hari ini - kerana menurutnya merancang PRK itu secara rahsia.

Pada PRU ke-14, Danyal mendapat 36,225 undi - atau 59 peratus daripada undi keseluruhan - berbanding calon BN V Mogan (18,515) dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).

Parlimen Port Dickson - atau nama lamanya Teluk Kemang - telah dipegang PKR sejak 2008.

Kawasan itu merangkumi 45 peratus pengundi Melayu dan 55 peratus pengundi bukan Melayu (Cina 33 peratus, India 22 peratus).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS