Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ADUN Beserah meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 12:40 PM
Dikemaskini: 4:42 AM

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Datuk Faisal Abdullah, 70, meninggal dunia akibat angin ahmar di sebuah hospital swasta di Kuantan, kira-kira pukul 11.45 malam semalam.

Anak sulungnya Ahmad Fadzilan, 40, berkata arwah dimasukkan ke hospital itu sejak sembilan hari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot selepas pulang daripada rawatan dialisis.

"Ayah memang menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang serta ada sejarah angin ahmar.

"Ayah ditahan di hospital selepas kami membawanya untuk pemeriksaan kerana muntah-muntah selepas melakukan dialisis," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Masjid Medan Tok Sira di sini, hari ini.

Ahmad Fadzilan menambah jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali di Kuantan, sebelum solat Zuhur hari ini.

Turut menziarah jenazah ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, barisan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan bekas menteri besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Faisal yang dilahirkan di Mengabang Telipot, Kuala Terengganu meninggalkan isteri Datin Maimunah Sulong, 65, lima orang anak termasuk sepasang kembar dan lapan cucu.

Beliau merupakan ADUN Beserah selama sepenggal dari 2004 hingga 2008 dan pernah menjawat jawatan Setiausaha Kerja Umno Pahang semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi menteri besar Pahang pada 1982 hingga 1986.

Faisal juga pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Berita Harian daripada tahun 1971 hingga 1978.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS