Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M.

Pengerusi Panel Majlis Perundingan Islam (MPI) itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan pingat serta sijil penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1440H/2018M di Masjid Wilayah Persekutuan, malam ini.

Ditemui pemberita kemudian, Siddiq berkata beliau berasa amat terharu dan 'kerdil' apabila dianugerahi penghormatan itu.

"Saya berasa kerdil dan takut, tapi saya beranikan diri untuk menerimanya dengan semangat untuk mewakili para daie (pendakwah), ilmuwan dan pendidik yang telah lakukan amal soleh (bekerja) tanpa mengharapkan balasan.

"Selagi hayat dikandung badan, saya akan teruskan menegakkan syiar Islam dan ajaran Islam bersama prinsip dan nilainya," katanya.

Siddiq turut menasihati masyarakat agar sentiasa positif dan menerima perbezaan kaum di negara ini.

"Perbezaan itu bukan masalah, sebaliknya individu itu yang bermasalah dan gagal menyingkap di sebalik berbezaan itu, misalnya sebuah pasukan akan lebih kuat jika terdapat kepelbagaian di dalamnya," katanya.

Siddiq pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijah peringkat Negeri Perak pada sambutan Maal Hijrah 1427H/2016M.

Sepanjang tempoh 2006 hingga 2017, seramai 19 individu daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya dikurniakan anugerah itu antaranya bekas Ketua Menteri Sabah Tun Sakaran Dandai (1439H/2017M) dan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (1432H/2010M).

Ambrin tokoh Maal Hijrah Selangor

Sementara itu di Shah Alam, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1440H Negeri Selangor pada sambutan yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Ambrin, 69, menerima wang tunai RM20,000, trofi Maal Hijrah, sijil penghargaan, sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah yang disampaikan Tengku Laksamana Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada majlis sambutan berkenaan.

Ambrin yang juga Anggota Dewan Diraja Selangor, ketika ditemui pemberita menyifatkan anugerah itu menerbitkan rasa istiqamah untuk terus berusaha menyumbang kepada pembangunan negara dan membaiki kelemahan.

“Semasa bekerja dulu (Ketua Audit Negara) banyak masalah saya cuba ketengahkan. Saya berharap penjawat awam dapat mengambil iktibar daripada laporan audit yang dikeluarkan.

“Kita bukan saja kena bertanggungjawab terhadap bos, dengan kerja kita tetapi juga sentiasa beringat bahawa ia adalah amanah Allah," katanya yang kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara.

Misi kemanusiaan ke Syria, Lubnan, Myanmar

Sementara itu, penceramah bertauliah JAIS, Danial Hakim Boey Abdullah @ Boey Kong Yuen, 56, menerima anugerah ‘Tokoh Saudara Kita’ sebagai menghargai sumbangannya yang banyak menyantuni mualaf di sekitar Selangor menerusi kelas-kelas pengajian dan bimbingan.

Danial Hakim juga melakukan dakwah kepada golongan bukan Islam dan dakwah perbandingan agama di masjid serta surau di negeri ini.

Tokoh Aktivis Masyarakat pula diberikan kepada Abdul Aziz Abu Bakar, 52, atas jasanya mengetuai misi kemanusiaan di bawah Majlis Perundingan Islam Malaysia antaranya ke Syria, Lubnan, Jordan, Bangladesh dan Myanmar.

Selain itu, pasangan Mohd Salleh Ashaari, 76, dan Ruslawati Mat Isa, 53, dianugerahi Tokoh Keluarga Mithali atas kejayaan mereka mendidik lima anak sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan penting dalam sektor kerajaan dan swasta.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta pakej mengerjakan umrah.

Pertubuhan Aman Palestin Berhad pula diiktiraf menerima Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela dan membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta buku-buku ilmiah.

Sementara itu, di Tumpat Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan 1440 Hijrah.

Di Seremban pula, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan Allayarham Datuk Mustafa Ahmad dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri.

Anugerah disampaikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kepada anak Allahyarham, Muhammad Hilal pada majlis sambutan yang diadakan di Masjid Negeri, malam ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS